Pascabanjir: 'Kg Baru Sungai Perdak ibarat dilanda Tsunami' - Ketua Kampung
Fareez Azman
Disember 30, 2021 21:16 MYT
Disember 30, 2021 21:16 MYT
BENTONG: Arus deras Sungai Perdak berserta puing kayu membadai Kampung Baru Sungai Perdak sehingga beberapa rumah musnah ditelan air bah.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati hampir keseluruhan rumah ditembusi puing kayu serta selut setinggi tiga kaki.
Menurut ketua kampungnya, Thu Yin Li, 50, meskipun perit menerima hakikat kediaman mereka musnah, namun itu realiti yang berlaku di kampung itu pada malam 18 Disember lalu.
Ibarat tsunami
"Kejadian petang pukul 6.00 (Sabtu), semasa itu penduduk saya dah pindahkan ke dewan berhampiran selepas itu saya nampak air naik ke kawasan dewan, jadi tak selamat.
"Jadi kita pergi tempat selamat di hujung kampung, tetapi didapati kawasan itu pun mula dinaiki air," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Bertindak nekad, kesemua penduduk jelasnya diselamatkan ke kawasan lebih tinggi dengan menaiki dua buah traktor.
"Paras air semakin naik, saya rasa ini sudah mengancam nyawa. Ibarat tsunami, rumah semua ditutup dengan kayu balak, rumah semua pecah.. ada yang hanyut.
"Lepas itu saya cepat-cepat panggil kawan saya, dia pengurus ladang, hantar traktor tolong selamatkan mangsa naik traktor dua buah," jelasnya lagi.
Mahu berpindah ke kawasan lain
Sejurus selepas banjir mulai surut, rata-rata penduduk tidak menjangka kampung mereka hampir musnah kerana dibadai banjir berserta puing kayu.
Jalan raya rosak, ada kenderaan terperosok ke dalam rumah, ada rumah hancur dilanggar puing.
"Sekarang tak selamat lagi kerana berlaku banjir dengan bawa kayu balak, nyawa kita terancam.
"Jadi kita minta pindah, minta kerajaan dan pihak berkuasa siasat betul-betul dari mana kayu balak ini.
"Kita mangsa banjir mahu tempat kediaman dan bina rumah baru bagi kita," katanya lagi.
Pemerhatian di Sungai Perdak juga mendapati, ratusan puing kayu terdampar di tebing sungai itu.
Beberapa runtuhan juga sebelum ini menyebabkan laluan jalan raya ditutup, namun sudah dibersihkan pihak berwajib.
Keadaan cuaca juga dilihat hujan sekejap sekejap, sekali gus membawa kekhuatiran penduduk mengenai keselamatan mereka.