Pascabanjir: 'Gelombang kedua banjir di Janda Baik datang dengan puing balak' - Mangsa

Fareez Azman
Disember 29, 2021 19:37 MYT
Antara kesan kemusnahan akibat dilanda banjir di Pulau Santap, Janda Baik, Bentong. - Astro AWANI
JANDA BAIK: Janda Baik di Bentong, Pahang antara kawasan terjejas teruk sejak dilanda banjir yang pada minggu lalu.
Buat penduduk di Pulau Santap, puing kayu termasuk dari pokok balak yang dihanyutkan arus deras antara yang memusnahkan kawasan kediaman mereka.
Menurut seorang pengusaha chalet, Kamarul Affendi, 49, gelombang kedua yang berlaku pada malam Sabtu lalu itu menyebabkan puing kayu meranapkan rumah bapa mertuanya sebelum ditelan banjir.
"Kejadian berlaku pada 18 Disember jam 9 malam... pelanggan (chalet) ada telefon saya, katanya 'sungai lain macam'.
"Langkah pertama kami lakukan adalah selamatkan pelanggan ke kawasan lebih tinggi dan kemudian keadaan bertambah teruk. Seterusnya kita selamatkan kereta pelanggan, kita pergi kawasan rumah lebih tinggi," jelasnya.
Menceritakan detik cemas itu, tambah Kamarul, dia bersama kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri, namun 'terperangkap' di sebuah rumah kampung.
Tidak dapat bergerak ke mana-mana, hari kemudiannya bertukar malam yang gelap dan mereka hanya mampu bertahan, meskipun sentiasa 'digerunkan' dengan bunyi arus deras sepanjang malam itu.
"Dalam lebih 60 orang keluarga kami dan pelanggan ada di rumah itu. Bila air sungai dah surut kami rasa dah lapang sikit, tapi kali kedua gelombang datang... 'hebat' sekali la.
"Dengan balak dan motor-motor hanyut, ada banyak kenderaan hanyut. Rumah saya antara yang kena puing kayu. Arwah bapa mertua ada sebut dulu terburuk pada tahun 1971," katanya lagi.
Ketika itu ujarnya, Kamarul hanya berserah kepada Ilahi jika keadaan bertambah buruk.
Air banjir yang deras mengakibatkan jalan raya turut terjejas, malah dua buah jambatan utama dan lima buah jambatan kecil yang menghubungkan penduduk kampung juga terputus.
"Masa itu kenderaan semua tak lepas, pasukan penyelamat pun tak dapat masuk. Kami dapat buat video call dengan anggota bomba, dia bagi arahan jangan bergerak ke mana-mana.
"Masa itu saya berserah kepada Tuhan, kalau itu penghujung hidup... redha sajalah. Lebih 60 nyawa (berlindung) dalam satu rumah itu," katanya lagi ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati keadaan di Pulau Santap amat teruk, dengan timbunan puing kayu di sepanjang Sungai Kuali dan Sungai Lampin.
Dari sudut bantuan pula, penduduk bersyukur apabila ramai badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan turut membanting tulang meringankan beban mereka.
#banjir #Janda Baik #pulau santap #rumah musnah
;