Pascabanjir: Dari Kluang ke Sri Nanding, baiki motosikal secara percuma
Ridauddin Daud
Disember 31, 2021 18:35 MYT
Disember 31, 2021 18:35 MYT
HULU LANGAT: Rakyat Malaysia memang hebat.
Ada saja bencana, tidak kiralah di mana, pasti ada saja bantuan datang dari rakyat yang tidak terkesan malah bantuan datang dari negeri-negeri lain juga.
Sama jugalah seperti kumpulan pemilik bengkel motosikal di Kluang, Johor ini yang berkampung dua hari di Taman Sri Nanding, membantu membaiki motosikal mangsa banjir.
Semuanya dilakukan secara percuma, tiada langsung caj dikenakan.
Sudah dua hari mereka berada di Taman Sri Nanding dan dengan lebih 20 orang yang hadir, satu demi satu motosikal penduduk dibaiki.
"Buat masa ini, Alhamdulillah 99 peratus semua kita berjaya hidupkan. Keseluruhan jumlah daripada semalam, kita dah bertapak dua hari di sini, hari ini hari akhir, kita dah buat lebih 100 buah motosikal.
"Kerosakan kebiasaannya yang kita jumpa akibat ditenggelami air, kerosakan asas seperti minyak enjin bercampur air, palam pencucuh rosak dan servis karburator.
"Semua itu dilakukan dengan percuma atas kutipan dana kita sendiri tanpa ada dana-dana daripada mana-mana pertubuhan atau kerajaan," kata wakil kumpulan itu, Mohd Azmi Md Aziz.
Mereka datang dari selatan tanah air, tidak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan, semuanya dengan inisiatif sendiri.
Menurut Mohd Azmi, mereka hadir kerana sifat perikemanusiaan, mahu membantu penduduk yang sekarang berdepan situasi sukar.
Tambahnya, mereka merupakan kumpulan pemilik bengkel Bumiputera di Kluang dan mula melakukan kerja-kerja membaiki itu pada Khamis.
"Dengan semangat perikemanusiaan, kami kumpulkan penduduk untuk bantu masyarakat di Taman Sri Nanding ini," ujarnya.
Katanya lagi, dia juga berterima kasih dengan penduduk yang memberikan kerjasama baik kepada mereka sejak mereka tiba di kawasan itu.