Pasca PRK Sungai Limau, kemenangan yang berbelah bagi - Penganalisis
Astro Awani
November 6, 2013 08:49 MYT
November 6, 2013 08:49 MYT
Kemenangan tipis PAS kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau dilihat sebagai kemenangan yang berbelah bagi dan tidak jelas, kata Fello Penyelidik KITA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Md Noor.
Mansor juga berkata kempen yang digunakan kedua-dua parti juga masih di takuk lama.
Tambah Mansor lagi, pemimpin juga perlu memahami hasrat sebenar pengundi.
"Rakyat di Kedah mahu pembangunan yang unggul lagi dalam memartabatkan rakyat, kerana itu (keputusan) nampak berbelah bagi" ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Politik UiTM Prof Dr Shahrudin Badarudin berkata walaupun kemenangan berada dipihak PAS namun pujian harus diberikan kepada jentera BN memandangkan Sungai Limau adalah kubu kuat PAS.
"Mengubah voting behavior di Sungai Limau dalam waktu yang singkat adalah sukar, namun kemampuan BN mengurangkan majoriti di sana adalah satu kejayaan juga" katanya.
Shahrudin tutut berasakan apa pun strategi yang digunakan dalam kempen tempoh hari, keputusan penduduk Sungai Limau dalam memilih pemimpin mereka haruslah dihormati.
"Tak kiralah keputusan itu dimenangi oleh pihak mana sekalipun, pembangunan itu mesti dilaksanakan kerana itu amanah yang diberikan Allah SWT" kata Shahrudin.
Shahrudin juga berpendapat, hari mengundi yang dijalankan pada hari bekerja merupakan faktor kurangnya pengundi luar untuk pulang mengundi.
"Aspek ini perlu dititikberatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di masa akan datang kerana hak mengundi adalah hak demokrasi" tegasnya.
Mereka berdua berkata demikian sewaktu menjadi jemputan berita Awani 745 hari ini.
#Penganalisis Politik UiTM
#Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau
#Prof Dr Mansor Md Noor
#Prof Dr Shahrudin Badarudin