Pasca PKP: Tingkatkan tabungan, pelbagaikan sumber pendapatan - Dr Madeline

Firdaus Azil
April 12, 2020 19:47 MYT
PKP dan COVID-19 seharusnya membuka mata atau sedikit sebanyak mengubah minda rakyat Malaysia untuk lebih bersedia di masa hadapan.
Sekitar 53 peratus rakyat Malaysia merasakan kewangan mereka terjejas akibat COVID-19, sementara 66 peratus pula mengakui tidak mempunyai simpanan yang mencukupi sekiranya mereka tiada pekerjaan untuk enam bulan akan datang.
Ia merupakan antara dapatan kaji selidik kaji COVID-19: Tinjauan Awam Malaysia - Menerokai Ketidakpastian Dalam Tempoh Mencabar, melibatkan 15,340 responden yang mewakili majoriti demografi di negara ini.
Dalam kaji selidik itu, firma konsultan Berkshire Media Sdn Bhd berkata, magnitud akibat impak kewangan ke atas rakyat Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mahupun pasca PKP, sama sekali tidak boleh dibiarkan.
Mengulas mengenai perkara itu, Felo Akademi Sains Malaysia Dr Madeline Berma berkata, ia seharusnya membuka mata atau sedikit sebanyak mengubah minda rakyat Malaysia untuk lebih bersedia di masa hadapan.
Bercakap kepada Astro AWANI hari ini, beliau berkata, kewangan individu tidak boleh berubah semata-mata dengan bantuan kerajaan melalui beberapa siri pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.
“Pertama sekali kita mesti belajar dari pengalaman ini. Ini satu situasi tak pernah berlaku dalam sejarah kehidupan kita di Malaysia ini. Sebab apa yang berlaku sekarang adalah dwi-pandemik, iaitu wabak ekonomi dan wabak kesihatan.
“Kalau kita lihat beberapa kajian yang dijalankan, jumlah tabungan yang ada untuk kebanyakan rakyat Malaysia adalah kurang mencukupi, atau langsung tidak mencukupi untuk mengekalkan kelangsungan kehidupan yang sederhana atau wajar dalam masa yang akan datang,” katanya.
Madeline berkata,apa yang pasti keadaan ini menuntut perubahan minda dan juga dari segi gaya melakukan aktiviti ekonomi.
“Kita perlu ambil iktibar dari musibah yang berlaku atau ujian. Yang penting, setiap kali ujian begini pasti ada cabaran dan peluang. Kita cari peluang, peluang pertama sekali bagaimana kita boleh pelbagaikan sumber pendapatan kita.
Kalau selama ini kita hanya bekerja satu pekerjaan dan satu sahaja sumber. Ini masa kita fikirkan bagaimana kita cari sumber baru sama ada secara dalam talian atau bersemuka atau face-to-face, atau perniagaan aktiviti ekonomi yang biasa,” katanya lagi.
Madeline berkata, kini merupakan masa yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia mencari ruang dan peluang dalam ekonomi gig.
“Kita melihat dalam keadaan persaingan, ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk gunakan Teknologi Maklumat (IT) atau Teknologi Internet dan Komunikasi (ICT) dimanfaatkan untuk kemudahan mereka lakukan perniagaan dan aktiviti ekonomi yang sebelum ini jual meniaga hanya di kedai biasa.
‘’Bayangkan pasar Ramadan akan datang, kita melihat perniagaan di mana ada platform kita berniaga dan membeli melalui internet. Maknanya tawar menawar, atas talian, platform baru ini akan beri satu cara atau kita beri kesedaran dan pentingnya internet masa akan datang,” katanya lagi.
#Akademi Sains Malaysia #COVID-19 #Dr Madeline Berma #ekonomi #ekonomi gig #kerajaan #koronavirus #Malaysia #Perintan Kawalan Pergerakan #PKP #rakyat Malaysia
;