Pasca MT UMNO: Masih ada tuntutan politik daripada UMNO?
Isabelle Leong
Oktober 27, 2020 14:38 MYT
Oktober 27, 2020 14:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kepimpinan UMNO dilihat masih menetapkan syarat selain menuntut jawatan tertentu dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung pada Isnin.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata itu antara mesej tersirat berdasarkan kenyataan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat itu.
Biarpun ia tidak dinyatakan secara terbuka, Dr Ahmad Martadha berkata ia jelas bahawa pemimpin UMNO masih menyimpan hasrat untuk menuntut jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“UMNO sebagai anggota komponen di dalam kerajaan PN yang mempunyai jumlah majoriti kerusi yang paling banyak, tentulah mereka mahukan kerajaan memberi sedikit penghormatan kepada mereka dengan mengiktiraf sumbangan UMNO di dalam PN.
“Mereka mahukan perhatian dan pengiktirafan tertentu yang sesuai dengan jumlah kerusi yang dimiliki mereka pada ketika ini.
“Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini, menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Bersatu perlu memberikan tumpuan kepada permintaan yang dinyatakan seperti tuntutan jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kanan,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat membuat tuntutan tersebut secara nyata susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk berhenti bermain politik.
“Berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, mungkin mereka tidak dapat menyatakan perkara itu secara terang.
“Kami masih faham ayat yang diberikan (Zahid) itu menunjukkan mereka masih menyimpan hasrat supaya kerajaan pimpinan Bersatu sedikit sebanyak boleh memberikan pengiktirafan kepada mereka berdasarkan apa yang dituntut sebelum ini.
“Namun, secara tersiratnya, kami dapati itulah juga yang mereka mahukan berdasarkan mesyuarat MT semalam,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, penolakan cadangan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan rundingan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan perpecahan yang wujud dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti UMNO.
“Dalam UMNO, terutamanya dalam kalangan kepimpinan tertinggi, kami dapati ada perpecahan yang mana sebahagian daripada mereka masih memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Segelintir yang lain mahukan perubahan kerana tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, terutamanya pengagihan jawatan menteri-menteri kabinet dan yang terbaharu dengan permohonan mereka untuk mendapatkan jawatan Ketua Menteri Sabah tidak dicapai.
“Jadi kami lihat terdapat beberapa tuntatan oleh pemimpin kanan dalam UMNO yang menunjukkan bahawa terdapat dua kem dalam parti itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Mesyuarat MT UMNO yang berlangsung pada Isnin mengambil keputusan akan terus mendukung kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, UMNO turut mengekalkan keputusan terdahulu iaitu menjalin kerjasama tanpa PKR dan DAP.
#UMNO
#Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO
#pasca MKT UMNO
#tuntutan politik
#jawatan Timbalan Perdana Menteri
#portfolio penting
#kabinet
#Zahid Hamidi
#Najib Razak