Pasca COVID-19: Terengganu perkenal dua pakej bantu usahawan, kontraktor kecil
Astro Awani
Ogos 15, 2021 10:15 MYT
Ogos 15, 2021 10:15 MYT
BESUT: Kerajaan negeri Terengganu bakal memperkenalkan dua pakej bantuan dalam usaha membantu golongan usahawan dan kontraktor kecil kembali bernafas susulan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Penjaja Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, pakej tawaran berkenaan telah berada di peringkat akhir sebelum dilaksanakan tidak lama lagi.
Katanya, pakej pertama menawarkan bantuan kewangan tanpa penjamin kepada golongan usahawan, yang diuruskan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad.
"Usahawan kita ada lebih 9,600 orang, dekat 10,000. Jadi, kepada yang terjejas, kita sangat mengalu-alukan mereka datang membuat permohonan.
"Kerana, dana-dana yang diperuntukkan itu tidak ada hadnya, cuma peruntukan itu bermula daripada RM3,000 hingga RM20,000," katanya di sini semalam.
Selain itu, Mohd Khuzaini berkata, kontraktor kecil yang memperolehi projek kerajaan dan yang tidak mampu memulakan kerja kerana ketiadaan modal yang cukup juga ditawarkan bantuan melalui pakej pemfaktoran.
Katanya, kerajaan sedar ada kontraktor kecil yang mendapat projek tidak mempunyai modal yang cukup dan kerana tiada pilihan, terpaksa meminjam daripada along.
Menyedari hakikat itu, jelasnya, pihaknya bersama YPU dan sebuah syarikat menyediakan pemfaktoran kepada kontraktor tersebut.
Tambahnya, untuk tahun pertama, kerajaan melalui YPU akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan akan dijadikan pusingan untuk kemudahan kontraktor membiayai 80 peratus daripada modal projek mereka.
#bantuan kewangan
#Besut
#COVID-19
#keusahawanan
#pandemik
#terengganu
#usahawan
#bank
#terkesan
#impak COVID-19
#terjejas
#Kontraktor
#projek kerajaan
#pakej pemfaktoran