Pasca COVID-19: Sarawak yakin capai sasaran 1.8 juta pelawat tahun ini

Astro Awani
November 30, 2022 11:40 MYT
Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia melibatkan peningkatan sebanyak 1,118.41 peratus berbanding tempoh sama pada 2021. -Gambar fail/Bernama
KUCHING: Jumlah kehadiran pelawat ke Sarawak meningkat kepada lebih 1.37 juta orang dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia melibatkan peningkatan sebanyak 1,118.41 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.
“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat sebanyak 1,118.41 peratus kepada 1,378,017 berbanding tempoh yang sama pada 2021.
“Kami yakin Sarawak akan menerima anggaran 1.8 juta pelawat menjelang akhir tahun ini, melepasi sasaran kami sebanyak 1.2 juta pelawat untuk 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan semasa Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Berdasarkan prestasi beberapa bulan lalu, kata Abdul Karim, pihaknya menyasarkan untuk mencapai 3 juta ketibaan pelawat pada 2023 sekali gus menjana RM7.25 bilion resit pelancongan.
“Walaupun pelancongan antarabangsa berkembang secara perlahan namun pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri pelancongan negeri.
“Ketibaan pelancong ke Malaysia meningkat kepada 3.21 juta dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2021 dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM9.35 bilion,” katanya.
Ia susulan pelancongan antarabangsa dijangka terus memulih secara beransur-ansur pada 2022 selepas sekatan perjalanan ditarik balik sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong.
Kata Abdul Karim, Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), menjangkakan pelancongan antarabangsa akan memulih kepada 65 peratus untuk kembali ke paras pra pandemik pada 2022.
Manakala 85 peratus lagi dijangka memulih pada 2023 walaupun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik yang ketara.
#pelancongan #Abdul Karim Rahman Hamzah #sasaran 1 8 juta pelawat #ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat
;