Pasca COVID-19, KWSP harus fokus pelan pembinaan semula simpanan - Penganalisis

Israr Khalid
Mac 3, 2022 11:21 MYT
Dikhuatiri para pencarum tidak memiliki simpanan yang memadai selepas persaraan mereka kelak jika pengeluaran terus dibuat. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pengeluaran tidak konvensional oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak lagi wajar dilakukan ketika tempoh pemulihan pasca pandemik COVID-19 ini.
Dari pandangan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Azfanizam Abdul Rashid, sekarang adalah masa untuk KWSP memberi tumpuan terhadap pelan pembinaan semula simpanan pencarumnya.
Waktu kecemasan dan terdesak ketika pandemik memaksa pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka, namun jika kebenaran itu diberikan lagi maka dikhuatiri para pencarum tidak memiliki simpanan yang memadai selepas persaraan mereka kelak.
“Kalau nak kata adakah KWSP mampu, berdasarkan data yang ada saya nampak adalah tidak berhemah untuk kita meneruskan trajektori yang sedemikian rupa kerana itu boleh memberi kesan kepada kecairan KWSP.
“Sepertimana yang dilaporkan, saya lihat KWSP begitu terkesan akibat pengeluaran waktu pandemik itu jadi untuk tempoh yang mendatang ini, selepas kita sudah selesai dengan masalah COVID-19, fokusnya adalah untuk membina semula simpanan ahli-ahli KWSP terutamanya bagi mereka yang terkesan,” katanya.
Pada masa sama, untuk memulihkan semula serta memperkukuhkan lagi kewangannya, Azfanizam melihat perlunya KWSP untuk mempelbagaikan aset di luar negara.
Katanya, peningkatan pendedahan KWSP di peringkat antarabangsa membuka ruang kepada pelabur asing untuk turut serta dalam pasaran modal tempatan sekaligus mengundang para pengurus dana di luar Malaysia untuk turut serta melabur dalam pasaran negara.
“Saya kira ini satu evolusi yang sihat dan perkara ini tak akan berlaku secara serta-merta, ia berlaku secara berperingkat.
“Implikasinya kepada pasaran modal negara terutamanya pasaran ekuiti negara seharusnya dilihat dlm sudut yang positif kerana terdapatnya penyertaan yang lebih tinggi dalam kalangan pengurus dana asing dan ini memaksa atau menjadi satu insentif kpd syarikat-syarikat disenarai tempatan untuk sentiasa berada setanding dengan standard yang ditetapkan,” jelasnya lagi
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini:
Pascapandemik: KWSP harus fokus pelan bina semula simpanan - Penganalisis
Agenda AWANI: Dividen lebih baik, KWSP bina semula simpanan
#KWSP #pencarum #COVID-19 #Mohd Azfanizam Abdul Rashid
;