Pasca 4 Februari: Baiki komunikasi, umum SOP perniagaan dengan segera - Penganalisis
Isabelle Leong
Februari 2, 2021 12:30 MYT
Februari 2, 2021 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pengumuman prosedur operasi standard (SOP) bagi perniagaan perlu dilakukan dengan pantas supaya pemain industri boleh merancang SOP dan aktiviti mereka.
Ketua Eknomi Pusat Penyelidikan Pasarah Buruh Masa Hadapan Perkeso, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata ia penting bagi kerajaan untuk mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi memastikan apa yang perlu dibuat dan dilaksanakan.
“Sepatutnya lebih baik jika diumumkan dengan lebih cepat supaya lebih mudah untuk pihak industri bersedia dan pada masa yang sama memberi mereka ruang untuk bersedia.
“Untuk bergerak ke hadapan, kami boleh membuka permintaan atau membenarkan sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya tetapi mengikat dengan menggunakan SOP tertentu untuk mengawal dari sudut tenaga kerja atau penawaran dengan mengawal satu-satu bahagian.
“Ia mungkin boleh dipertimbangkan dan boleh memberi kesan lebih baik berbanding amalan sebelum ini,” kata Dr Mohd Yusof dalam temu bual bersama Niaga AWANI pada Selasa.
Pandangan yang sama turut diberikan Penganalisis Ekonomi UUM, Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin yang berkata kerajaan perlu lebih peka dan memperbaiki cara komunikasi serta penyampaian SOP kepada masyarakat.
Niaga AWANI: Bagaimana imbangi nyawa & kelangsungan hidup?
Pada masa yang sama, Dr Irwan juga menegaskan aktiviti tidak boleh dibuka dan ditutup terlalu kerap.
“Dari sudut komunikasi, apa yang penting adalah penglibatan daripada semua pihak iaitu daripada komuniti dan juga kerajaan secara menyeluruh.
“Jadi saya fikir ini yang penting, dan kami cuba memastikan apabila komunikasi itu tidak sampai dengan baik, ia akan menimbulkan juga kos kepada peniaga dan juga memberi ketidaktentuan kepada rakyat.
“Ada rakyat yang akan diberikan kompaun kerana mereka tidak jelas berhubung SOP tersebut dan ia perlu konsisten dan tidak boleh ada perubahan di sini sana dan sebagainya. Hal ini kerana ia akan memberikan masalah kepada peniaga mungkin pada masa hadapan,” tegasnya.
Dalam perkembangan yang sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijadual bermesyuarat hari ini untuk membincangkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau tidak.
Untuk rekod, PKP semasa ketika ini akan tamat pada Khamis ini, 4 Februari 2021.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan menutup ekonomi sepenuhnya dalam mengekang penularan COVID-19 dan akan memfokuskan kepada sektor perkilangan dan pembinaan.
#COVID-19
#SOP
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#prosedur operasi standard
#perkeso
#Dr Mohd Yusof Saari
#Dr Irwan Shah Zainal Abidin
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#ismail sabri yaakob
#ekonomi
#kerajaan