Pasarnita: Peluang usahawan wanita lebarkan perniagaan

Khairunnisa Kasnoon
Mei 31, 2015 21:22 MYT
Kawasan tempat letak kereta Bukit Nenas di Jalan Ampang diumumkan sebagai tapak kekal pertama Pasarnita.
Kawasan tempat letak kereta Bukit Nenas di Jalan Ampang diumumkan sebagai tapak kekal pertama Pasarnita.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan tapak kekal Pasarnita di sini hari ini berkata ia dapat memberi peluang kepada para usahawan wanita mempamer dan menjual produk selain melebarkan jaringan perniagaan masing-masing.
"Saya berharap dengan adanya tapak kekal ini, para usahawan wanita khususnya yang masih bertatih dalam bidang ini dapat meluaskan bidang perniagaan mereka dan secara tidak langsung menambah pendapatan mereka," katanya.
Kata Najib, golongan wanita perlu terus diberi galakan terutamanya kepada mereka yang sedang berusaha keras untuk meneruskan kelangsungan hidup yang menjadikan bidang perniagaan sebagai punca pendapatan utama mereka.
"Keperluan tapak perniagaan yang berpotensi dengan kadar sewa mampu dibiayai oleh usahawan bumiputera dan golongan wanita yang sedang bertatih, yang sedang berusaha untuk berjaya, mereka inilah yang perlu diberi tumpuan supaya boleh terus berjaya," ujarnya.
Tambahnya, usahawan wanita juga perlu bijak mengguna pakai pelbagai platform yang disedikan dalam usaha untuk memajukan perniagaan mereka.
"Dalam hal ini, saya berharap wanita jangan rasakan mereka terkongkong dalam sempadan negara sahaja. Mereka harus lebarkan perniagaan mereka dalam konteks ASEAN.
"Saya harap lebih ramai wanita Malaysia berjaya pada peringkat ASEAN jua," katanya lagi.
Beliau juga berharap golongan wanita akan terus diberi peluang untuk berniaga di tapak-tapak berpotensi seperti medan selera yang menjadi tumpuan ramai.
Pasarnita merupakan platform bagi menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan hasil inisiatif Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita.
Ia sebelum ini dijalankan dengan konsep "car boot sale" di kawasan-kawasan terpilih pada setiap hujung minggu seperti di Publika, Dataran Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.
Dalam pada itu, bagi peserta Pasarnita, pelancaran tapak kekal Pasarnita dapat membantu golongan suri rumah mempunyai punca pendapatan sendiri secara tetap.
Menurut Pengarah Arena Cipta, Asfarena Samion, dengan adanya Pasarnita mereka boleh berniaga dengan kadar modal paling minimum dan mendapat kadar pulangan yang memberangsangkan.
Bagi peserta lain, Pasarnita sangat membantu memperkenalkan produk mereka, bukan sahaja di pasaran tempatan, malah ada yang berkembang hingga ke negara-negara Asia Tenggara.
#bukit nenas #najib #pasanita #perniagaan #tapak kekal
;