Pasareka 2023: Platform pereka seni kreatif kongsi idea, reka bentuk

Fareez Azman
November 2, 2023 18:19 MYT
Khairul Hafizi berkata, Pasareka 2023 bakal memberi pengalaman baharu buat pengunjung mengenai seni kraf tempatan. - Gambar/ Astro AWANI
'MENGGABUNGKAN pereka dan penggiat seni kraf dalam satu acara dengan perkongsian idea dalam pembangunan produk kraf baharu.'
Itu keunikan Program Pasareka 2023 anjuran Kraftangan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 November ini.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Kraftangan Malaysia, Khairul Hafizi Naharuddin, program edisi keenam diadakan itu bakal memberi pengalaman baharu buat pengunjung mengenai seni kraf tempatan.
"Kraftangan Malaysia sekarang sedang menganjurkan aktiviti Pasareka edisi keenam 2023 yang sedang berlangsung bermula 1 hingga 5 November yang akan dibuka pada setiap hari jam 10 pagi hingga 6 petang di aras bawah Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
"Pasareka ini satu platform untuk mengenengahkan aktiviti seni kreatif dan kraf... dari segi perkembangan idea, perkongsian aktiviti senireka... dan dihimpunkan juga beberapa aktiviti seperti jualan produk kraf can pameran untuk pengunjung yang gemar kepada reka bentuk kraf," katanya.
Antara dipamerkan, Designer Highlight; Produk Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf; Institut Kraf Negara; Produk Alumni dan Tenaga Pengajar IKN; dan koleksi Produk Pelajar IKN.
Tambah Khairul Hafizi, pengunjung boleh menyertai beberapa projek interaktif yang dianjurkan sepanjang Pasareka 2023.
Antaranya Projek Sembangreka, Projek Bentuk-Bentuk, Projek Reka Kraf dan Projek Pereka Cipta.
"Kandungan yang ditawarkan dalam Pasareka ini kebanyakan berkisar kepada IKN, di mana IKN melahirkan generasi penghasil pengkarya kraf dari aspek keusahawanan, kemahiran dan seniman.
"Jadi dalam segmen Pereka Highlight di mana Alumni IKN yang telah tamat belajar cemerlang diserap dilantik sebagai pereka kraftangan. Daripada hasil yang dipelajari dari IKN akan dibawa pula ke peringkat industri," katanya lagi.
Sepanjang Pasareka 2023, pengunjung juga jelas Khairul Hafizi boleh melihat sendiri pembuatan kuih tradisional menggunakan produk kraf menerusi Projek Camca.
"Kita ada Projek Camca di mana kita nak mengenengahkan kembali penghasilan masakan tradisional kuih menggunakan produk kraf.
"Dalam Projek Camca ini kita sediakan lapan menu dan resepi yang dibuat pereka sendiri sebagai pendemo.
"Bagi melihat penggunaan produk kraf itu sendiri, ia satu focal point dalam Pasareka 2023 ini. Jadi pengunjung boleh datang melihat sendiri. Mungkin salah satunya boleh dijadikan nostalgia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI dalam Program Pasareka 2023 di ibu negara pada Khamis.
Buat warga Lembah Klang, jangan lepaskan peluang untuk melihat keunikan produk kraf tempatan yang dipamerkan sepanjang program. Masuk adalah percuma.
#Pasareka 2023 #MOTAC #Kraftangan Malaysia #Khairul Hafizi
;