Pasaran perumahan terus mantap pada tempoh separuh kedua 2022 - BNM
Bernama
Mac 29, 2023 13:17 MYT
Mac 29, 2023 13:17 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti dalam pasaran perumahan bagi tempoh separuh kedua 2022 terus kukuh berikutan pemulihan kegiatan ekonomi serta keadaan guna tenaga yang bertambah baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata urus niaga pasaran hartanah terus berlegar melebihi paras sebelum pandemik bagi tempoh berkenaan dengan sebahagian besarnya didorong oleh urus niaga pembelian harta tanah berharga RM500,000 dan ke bawah.
"Berikutan itu, trend pertumbuhan harga rumah (seperti diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia) meningkat ke arah purata jangka panjang (suku ketiga 2022: 5.1 peratus; separuh tahun pertama 2022: 2.5 peratus; purata 2015-2019: 5.3 peratus)," katanya.
Walaupun tekanan inflasi dan kos pinjaman meningkat, BNM berkata aktiviti dalam pasaran perumahan dijangka dapat mengekalkan momentum pemulihannya, disokong oleh keadaan pendapatan dan perniagaan yang beransur pulih serta langkah-langkah dasar berkaitan.
Ini termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem untuk harta tanah berharga RM500,000 dan ke bawah serta diskaun duti setem sebanyak 75 peratus bagi harta tanah berharga lebih RM500,000 hingga RM1 juta.
Bagaimanapun, kata BNM, pasaran perumahan terus menghadapi risiko pertumbuhan perlahan akibat ketidakseimbangan permintaan dan penawaran yang berterusan.
"Bilangan unit rumah tidak terjual dalam trend menurun tetapi kekal tinggi berbanding purata yang pernah dicatatkan (151,683; suku keempat 2021 (kemuncak): 183,918; purata 2015-2019: 130,210)," katanya.
Bank pusat itu berkata, ini meliputi unit siap yang tidak terjual dan unit tidak terjual dalam pembinaan (masing-masing 35.6 peratus dan 64.4 peratus daripada jumlah unit tidak terjual) bagi kediaman, pangsapuri servis dan unit pejabat kecil rumah pejabat (SOHO).
Malah, hampir dua pertiga daripada unit terbabit masih tidak terjual selepas tiga tahun dan sebahagian besarnya akibat paras harga di luar kemampuan isi rumah, terutamanya di negeri-negeri utama.
Namun begitu, kadar pengambilan yang perlahan bagi unit-unit ini dijangka tidak akan menekan kenaikan harga rumah secara material memandangkan unit-unit ini tidak banyak tertumpu di kawasan atau atau projek utama.
"Jumlah projek dengan tahap unit tidak terjual yang banyak (iaitu kadar tidak terjual melebihi 80 peratus) mencakupi hanya 10 peratus daripada jumlah projek dengan unit tidak terjual.
"Situasi ini mengurangkan risiko segolongan besar pemaju terbabit untuk menurunkan harga dengan meluas bagi mengurangkan unit tidak terjual yang boleh memberi kesan limpahan lebih ketara kepada pasaran perumahan."
Selain itu, BNM berkata bekalan baharu harta kediaman yang baru dilancarkan terus berganjak ke arah segmen pasaran umum dengan harta tanah berharga RM300,000 dan ke bawah mencakupi bahagian lebih tinggi (44.3 peratus; 2021: 38.4 peratus; purata 2015-2019: 35.2 peratus).
Bank pusat itu menyifatkan keadaan itu sebagai perkembangan positif dalam membantu mengurangkan lagi risiko ketidakseimbangan permintaan dan penawaran.
Bagi aktiviti pembiayaan untuk pembelian hartanah kediaman, BNM berkata ia bertambah baik sejajar dengan kegiatan pasaran dan permohonan pinjaman meningkat pada separuh kedua 2022 dalam kesemua julat harga.
Menurut BNM, menerusi tingkah laku bayaran balik pinjaman yang lebih jelas, bank-bank lebih bersedia untuk meluluskan pinjaman perumahan sambil melaksanakan penilaian kemampuan pinjaman yang berhemat.
"Hal ini telah menyebabkan kadar kelulusan keseluruhan pulih melebihi paras purata sebelum pandemik (76.4 peratus; 2021: 73.4 peratus; purata 2015-2019: 75.9 peratus)," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia
#Pasaran Perumahan
#Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022
#Indeks Harga Rumah Malaysia