Pasaran kewangan domestik bertambah baik, sentimen pelabur positif - Bank Negara Malaysia
Astro Awani
Mac 29, 2019 19:02 MYT
Mac 29, 2019 19:02 MYT
PASARAN kewangan domestik bertambah baik dalam keadaan sentimen pelabur yang positif berikutan ringgit menambah nilai sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS pada Februari 2019.
Itu antara intipati laporan sorotan bulanan untuk Februari yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Berikut rumusan BNM untuk bulan Februari:
Harga bahan api domestik yang rendah menyebabkan inflasi keseluruhan menjadi negatif
- Inflasi keseluruhan mencatatkan angka negatif yang lebih kecil iaitu -0.4% pada bulan Februari (Januari: -0.7%). Inflasi pengangkutan kekal negatif, namun sumbangannya yang negatif kepada inflasi mengecil berikutan kenaikan harga minyak global pada bulan Februari.
IPI keseluruhan meningkat 3.2% pada bulan Januari 2019
- Indeks Pengeluaran Industri keseluruhan yang terkini mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah sedikit pada 3.2% dari tahun ke tahun (y-o-y) pada bulan Januari 2019 (Dis 18: 3.4%).
Pembiayaan bersih terus berkembang
- Pembiayaan bersih2 mencatatkan pertumbuhan tahunan 5.8% pada bulan Februari (Januari: 5.9%). Pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 7.9% pada bulan Februari (Januari: 7.3%), manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 5.0% pada bulan itu (Januari 2019: 5.5%).
Pasaran kewangan domestik bertambah baik dalam keadaan sentimen pelabur yang positif
- Ringgit menambah nilai sebanyak 0.5% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan Februari, disokong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon. Penambahan nilai ini adalah sejajar dengan trend serantau dan didorong oleh kesanggupan pelabur global mengambil risiko yang lebih tinggi.
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit disebabkan oleh beberapa peminjam korporat yang bermasalah. Walau bagaimanapun, nisbah pinjaman terjejas bank-bank stabil pada 0.9%.
#Indeks Pengeluaran Industri
#Kualiti aset sistem perbankan
#Laporan Bank Negara Malaysia
#Prestasi Ekonomi Malaysia
#Prestasi Ringgit Berbanding Dollar
#Prestasi sektor perkilangan