Pasaran hartanah dijangka kembali aktif - Penganalisis
Bernama
Jun 6, 2020 13:20 MYT
Jun 6, 2020 13:20 MYT
Pasaran hartanah negara dijangka kembali aktif susulan Kempen Pemilikan Rumah yang diperkenalkan semula oleh kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
Pakar hartanah Dr Azizul Azli Ahmad berkata kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai membelanjakan simpanan mereka untuk membeli hartanah, khususnya golongan muda dan mereka yang ingin memiliki rumah pertama.
"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembiayaan pasaran hartanah lembab seperti pinjaman perumahan di bank tidak berlaku, menyebabkan pemain industri seperti arkitek, ejen hartanah dan jurunilai tidak ada pendapatan.
"Bagaimanapun saya yakin, pasaran hartanah kembali baik selepas ini berikutan akan ada keyakinan pembeli sekali gus meningkatkan aliran jual beli dalam sektor itu," katanya kepada Bernama.
Azizul Azli juga menjangkakan insentif tersebut akan membantu mengurangkan masalah lambakan hartanah tidak terjual di bandar-bandar besar seperti di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika meneroka pasaran hartanah dan tidak terbawa-bawa dengan keghairahan untuk membeli kediaman bagi mengelakkan ditipu pemaju yang mungkin mengambil kesempatan daripada insentif yang ditawarkan kerajaan.
"Mungkin ada pemaju akan menaikkan harga terlalu tinggi, oleh itu sentiasa semak dan bandingkan harga rumah dengan nilai pasaran hartanah di kawasan tersebut dengan pihak bank atau ejen hartanah berdaftar sebelum membelnya," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia Ishak Ismail berpendapat insentif Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah pula adalah satu tawaran yang positif kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.
"Ini kerana ada sebahagian kita yang terkesan dengan impak COVID-19 seperti hilang pekerjaan, jadi mereka terpaksa melupuskan hartanah, sekurang-kurangnya keuntungan itu diperoleh dan digunakan segera untuk menampung kos sara hidup mereka," katanya.
-- BERNAMA
#hartanah
#kempen pemilikan rumah
#kerajaan
#Kuala Lumpur
#meningkat
#Muhyiddin Yassin
#nilai
#pasaran
#PENJANA
#Perdana Menteri