Pasaran buruh negara stabil - Mustapa

Bernama
Oktober 14, 2020 18:45 MYT
Pasaran buruh di negara ini berada dalam kedudukan stabil dengan sedikit pemulihan pada Ogos 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasaran buruh di negara ini berada dalam kedudukan stabil dengan sedikit pemulihan pada Ogos 2020 apabila bilangan penganggur dicatatkan berkurangan kepada 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada bulan Julai lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Bagaimanapun, kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur, katanya.
"Trend pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei dan 4.9 peratus dicatatkan pada Jun.
"Trend pemulihan yang dicatatkan pada Ogos disokong oleh pelbagai faktor, antaranya lebih banyak perniagaan beroperasi dan pembukaan sektor pendidikan secara berperingkat pada 10 Jun, 2020, seiring dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Mustapa berkata kebenaran merentas negeri yang menyaksikan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak dan kesan positif daripada pelbagai inisiatif kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) turut menyumbang kepada prestasi pada Ogos.
Antara inisiatif kerajaan termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PENJANA Kerjaya), Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk belia dan penganggur, Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, kata Mustapa.
"Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan yang memberangsangkan apabila buat pertama kalinya turun di bawah paras sembilan peratus iaitu pada paras 8.9 peratus atau 502,300 orang. Selain itu, kadar pengangguran belia melepasi paras sembilan peratus daripada April sehingga Julai tahun ini dengan merekodkan sebanyak 544,500 belia menganggur pada Julai.
"Statistik ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin beransur pulih hasil pelbagai usaha dan inisiatif yang digagaskan oleh kerajaan dengan sokongan banyak pihak termasuk sektor swasta, industri dan juga rakyat," katanya.
Mustapa berkata walaupun pasaran buruh semakin pulih, kerajaan sedar dan prihatin bahawa bilangan penganggur ketika ini masih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016-2019, keadaan semasa yang memperlihatkan trend peningkatan kes COVID-19 berkemungkinan memberi cabaran untuk tenaga buruh memasuki pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai pengganggur dapat kembali bekerja, katanya,
"Kerajaan sedar bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi kesannya kepada ekonomi dan pendapatan mereka.
"Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting. Sebab itulah, PKPB membenarkan sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," kata Mustapa.
-- BERNAMA
#Pasaran buruh #stabil #penganggur #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Mustapa Mohamed #PKPP #PKPB #PRIHATIN
;