Pasar Tamu Mingguan Sibu Jalan Indah ditutup
Rudi Affendi Khalik
Januari 9, 2021 16:00 MYT
Januari 9, 2021 16:00 MYT
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memutuskan untuk menutup Pasar Tamu Mingguan Sibu di Jalan Indah bermula esok.
Menurut Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting, tindakan itu susulan Sibu telah bertukar status kepada zon merah setelah merekodkan 39 kes dan mempunyai kluster baharu dalam tempoh 14 hari lalu.
"Ekoran kewujudan Kluster Pasai yang baharu sahaja diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu Charles Siaw, pihak kami mengambil keputusan untuk menutup pasar tersebut berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ataupun peraturan di kawasan zon merah.
"MPS ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai penutupan itu sehingga diberitahu kelak," katanya.
Selain itu, Ting turut mengingatkan warga Sibu untuk terus kekal selamat dan mematuhi SOP yang ditetapkan demi membendung wabak tersebut dari terus menular.
"Terus kekal berada di rumah dan jangan keluar jika tiada urusan penting. Jika keluar sila gunakan pelitup muka dan mematuhi SOP," ujarnya.
Untuk rekod, Pasar Tamu Mingguan Sibu mula beroperasi di Jalan Indah, Teku pada 1 Ogos tahun lalu setelah dipindahkan dari Jalan Mahsuri pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu dan mempunyai seramai 115 penjaja dan peniaga berniaga di pasar tersebut.
#Pasar Tamu Mingguan Sibu
#Sibu
#COVID-19
#Clarence Ting
#Majlis Perbandaran Sibu
#MPS
#Kluster Pasai