Pasar Sentral Sibu ditutup sekali lagi hingga 19 Feb

Bernama
Februari 13, 2021 17:10 MYT
Keputusan penutupan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu berkaitan kes positif di situ. - Astro AWANI
SIBU: Penutupan Pasar Sentral Sibu yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan lagi sehingga 19 Feb susulan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 melibatkan pasar tersebut.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh berkata keputusan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu berkaitan kes positif di situ.
"Keutamaan kami ialah kesihatan dan keselamatan para penjaja dan orang awam secara keseluruhan.
"Oleh itu MPS juga telah meminta supaya semua penjaja di Pasar Sentral Sibu untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di klinik kesihatan kerajaan berdekatan atau pusat ujian saringan pandu lalu Kementerian Kesihatan di bangunan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya MPS juga akan menyemak keputusan penutupan pasar tersebut pada 19 Feb nanti dengan mengambil kira keputusan saringan penjaja di sana.
Pasar Sentral Sibu yang menyediakan lebih 1,100 ruangan niaga sebelum ini pernah ditutup atas sebab sama untuk kali pertama pada tahun ini iaitu 2 - 3 Feb dan kali kedua pada 8 - 14 Feb.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kes positif #Sibu #ujian saringan #kesihatan #ditutup #penularan #kluster #Sarawak
;