Pasar raya Mydin di Manjoi terbakar

Astro Awani
Mac 10, 2024 21:54 MYT
Satu kejadian kebakaran berlaku di pasar raya besar Mydin di Manjoi, Ipoh malam ini. - Foto Sinar Harian
IPOH: Satu kejadian kebakaran berlaku di pasar raya besar Mydin di Manjoi, Ipoh malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7.09 malam.
Sabarodzi berkata, satu pasukan bomba dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian.
"Bomba mendapat panggilan menyatakan terdapat asap di bilik suis Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum berlaku kebakaran di tingkat atas," katanya.
Beliau berkata setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pasukan bomba masih berusaha memadam kebakaran.
Kebakaran dikatakan bermula di tingkat dua premis perniagaan berkenaan sekitar jam 6.45 petang tadi.
Kejadian disedari orang ramai selepas bekalan elektrik terputus diikuti bunyi loceng penggera kebakaran.
Menurut maklumat awal kira-kira 40 pekerja dengan lebih 200 pengunjung berada di dalam pasar raya Mydin Manjoi berkenaan bagi membuat persiapan akhir persekolahan dan menyambut Ramadan.
Kesemua pekerja dan pengunjung sempat mengosongkan premis sebelum api mula marak di tingkat dua bangunan yang menempatkan seksyen pakaian, barangan elektrik dan keperluan harian.
#pasar raya terbakar #Gempar #Ipoh #Gugusan Manjoi
;