Pasar Raja Bot ditutup 14 hari untuk proses sanitasi
Bernama
April 28, 2020 17:04 MYT
April 28, 2020 17:04 MYT
Pasar Raja Bot di Chow Kit di sini, akan ditutup bermula esok sehingga 13 Mei bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan saringan COVID-19 terhadap peniaganya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata penutupan pasar itu selama 14 hari adalah atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Berikutan perintah penutupan premis untuk kerja-kerja basmi kuman dan saringan COVID-19 terhadap peniaga pasar, pasar itu diarah tutup sepenuhnya operasi dan aktivitinya.
"Arahan ini adalah selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan tertakluk kepada arahan perubahan terkini dari semasa ke semasa," katanya dalam notis arahan yang dimuat naik di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Katanya notis itu adalah terpakai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
-- BERNAMA
#DBKL
#Facebook
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#Pasar Raja Bot di Chow Kit
#peniaga