Pasar Minggu Medan Niaga Satok, Pasar Tani FAMA di Sarawak beroperasi kembali esok
Bernama
Jun 26, 2020 17:27 MYT
Jun 26, 2020 17:27 MYT
Pasar Minggu di Medan Niaga Satok di sini dan sembilan pasar tani lain yang dikelolakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh Sarawak akan beroperasi semula mulai esok.
Pengarah FAMA Sarawak, Datuk Mat Sani Hassan berkata pihaknya mengambil keputusan membuka semula kawasan pasar berbumbung di Medan Niaga itu, susulan langkah kerajaan memberi kelonggaran untuk membenarkan pasar tani dan pasar minggu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau berkata kawasan pasar minggu itu boleh dikunjungi orang ramai mulai pukul 7.00 pagi sehingga 6.00 petang esok, namun mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, serta direkodkan maklumat.
"Kita juga sudah buat persediaan seperti tapak berniaga dijarakkan satu atau dua meter (di antara satu sama lain) dan meletakkan penghalang supaya pengunjung dan peniaga ada jarakan sosial," katanya pada sidang media di Ibupejabat FAMA Sarawak di sini.
Katanya di Satok, hampir 80 peratus dari keseluruhannya 584 peniaga pasar minggu terbabit, sudah bersedia untuk kembali berniaga.
Sementara itu Mat Sani berkata sebelum pelaksanaan PKP, 36 pasar tani diadakan FAMA di Sarawak setiap Sabtu dan Ahad membabitkan seramai 1,185 peniaga.
-- BERNAMA