Pasar Malam@Lorong TAR dipindah ke Jalan TAR setiap Sabtu sepanjang Ramadan

Bernama
Mac 7, 2023 13:30 MYT
Pasar Malam@Lorong TAR, di sini akan dipindahkan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap Sabtu sepanjang Ramadan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasar Malam@Lorong TAR, di sini akan dipindahkan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap Sabtu sepanjang Ramadan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan ia melibatkan tarikh operasi pasar malam pada 25 Mac,1 April, 8 April dan 15 April ini.
"Langkah itu bagi memberi laluan kepada penganjuran Bazar Aidilfitri@Lorong TAR yang akan dianjurkan pada 29 Mac hingga 21 April ini bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan sebahagian Jalan TAR akan ditutup untuk aktiviti pasar malam bermula dari persimpangan Jalan Esfahan hingga ke persimpangan Jalan Melayu dan laluan trafik akan ditutup mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Sehubungan itu DBKL menasihatkan warga kota yang ingin ke bazar Aidilfitri, pasar malam serta kawasan sekitar Masjid India agar merancang perjalanan masing-masing.
Orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
-- BERNAMA
#Ramadan #DBKL #Pasar Malam Lorong TAR #Bazar Aidilfitri Lorong TAR
;