Pasar malam di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin jadi penanda aras
Nur Fazlizai Ali
Jun 6, 2020 11:00 MYT
Jun 6, 2020 11:00 MYT
Penganjuran pasar malam dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus akan menjadi penanda aras sebelum diperluaskan ke seluruh Terengganu.
Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria berkata, pasar malam percubaan itu akan dianjurkan tiga atau empat kali sebelum laporan mengenainya diserahkan kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri akan membuat penilaian dan seterusnya memutuskan sama ada pasar malam sedemikian boleh dianjurkan di seluruh negeri.
"Antara SOP yang ditetapkan menerusi projek perintis itu termasuk mewujudkan laluan masuk dan keluar sehala dilengkapi rekod pengunjung dan pensanitasi tangan.
"Setakat ini kita berpuas hati dengan kadar pematuhan peniaga dan pelanggan yang berkunjung ke tapak jualan itu kerana masing-masing mematuhi arahan penjarakan sosial," katanya di sini pada malam Jumaat.
Pada Jumaat, seramai 112 peniaga pasar malam di Terengganu mula meneruskan operasi perniagaan mereka selepas lebih tiga bulan menghentikan operasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Pasar malam percubaan itu mula dibuka kepada orang ramai bermula jam 3 petang sehingga 7 malam.
Mengulas lanjut, Fadli Yusof berkata, seramai 10 penguat kuasa MBKT ditempatkan di pasar malam itu dan dibantu anggota RELA dan persatuan penjaja untuk memantau keadaan semasa.
#kerajaan
#Kuala Terengganu
#operasi
#pasar malam
#pematuhan
#peniaga
#penjarakan sosial
#percubaan
#perintis
#PKP
#SOP