'Pasar Lambok' Gua Musang jadi tumpuan menjelang Aidilfitri
Astro Awani
Ogos 4, 2013 12:35 MYT
Ogos 4, 2013 12:35 MYT
Sebut saja ‘Pasar Lambak’, penduduk Gua Musang pasti tersenyum membayangkan pasar kesukaan yang sering mereka nantikan setiap minggu.
Pasar yang berusia lebih 10 tahun itu menjadi pilihan penduduk pedalaman Kelantan membeli belah dan menjadi kunjungan tetap setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Astro AWANI ke pasar lambak ini atau lebih dikenali sebagai ‘Pasar Lambok’ di kalangan penduduk tempatan, penuh sesak dengan kehadiran orang ramai yang sibuk membeli kelengkapan Hari Raya.
Pengunjung yang ditemui berpendapat, mereka lebih suka membeli di pasar itu kerana terdapat banyak pilihan dan harganya jauh lebih murah berbanding tempat lain.
Antara pengunjung pasar lambak, Nor Shamim lebih selesa membeli belah di pasar lambak berbanding di pasaraya.
“Di pasaraya harga barangan lebih mahal walaupun benar ia lebih berkualiti. Tetapi kualiti barangan di pasar lambak pun tiada kurangnya juga dan pada masa sama kita boleh jimat kos,”
Kewujudan pasaraya tidak menggugat mereka untuk mendapatkan barangan yang dihajati.
Walaupun terpaksa bersesak-sesak, namun ianya berbaloi apabila harga durian runtuh ditawarkan dan sekaligus menguntungkan pembeli.
“Di pasar lambak ini ada macam-macam pilihan selain daripada tudung, baju dan di samping itu juga kita boleh membeli barangan dapur untuk berbuka puasa,” kata Sharifah Mohd Noor, salah seorang pengunjung pasar lambak.
Pasar lambak ini beroperasi seminggu sekali, bermula seawal petang Khamis dan berakhir pada tengahari, Jumaat.