Pasar Harian Selayang baharu lebih selesa, bersih dan moden - Peniaga

Bernama
Jun 2, 2021 11:31 MYT
Pemindahan peniaga Pasar Harian Selayang ke bangunan baharu ini ditangguhkan dua kali sebelum ini bagi membolehkan kerja ubah suai dilakukan. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur dekat sini yang memulakan operasi perniagaan sepenuhnya di bangunan baharu mulai semalam (1 Jun) menyediakan persekitaran lebih bersih, moden dan selesa kepada peniaga dan pengunjung.
Tinjauan Bernama ke pasar bernilai RM87 juta yang dilengkapi kemudahan seperti lif, eskalator, medan selera, tempat parkir bertingkat, ruang punggah, kamera litar tertutup (CCTV) itu juga mempunyai susun atur ruang perniagaan yang sistematik berbanding pasar sementara dahulu.
Bagaimanapun masih ramai peniaga belum memulakan perniagaan mereka di pasar itu dan pelanggan juga didapat masih kurang berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula semalam sehingga 14 Jun ini.
Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Mohd Hafiz Mohd Sidik ketika ditemui berkata rata-rata peniaga di situ masih dalam proses untuk berpindah temasuk memindahkan barangan dari premis lama bersebelahan bangunan baharu itu.
"Hari pertama berniaga di tempat baharu berjalan dengan lancar, tidak ada banyak aduan yang diterima, masing-masing sibuk dengan urusan perpindahan dan susun atur barang di premis.
"Masalah berbangkit sebelum ini seperti laluan ramp tidak mencukupi dan tiada laluan kecemasan namun ia telah ditambah baik, jadi kalau ada pun, hanya sedikit masalah sahaja," katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Hafiz berkata peniaga turut menyambut baik usaha Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memberikan pengecualian sewa kepada semua peniaga di pasar harian tersebut sehingga Disember ini bagi meringankan beban terutama di waktu pandemik ini.
Pemindahan peniaga Pasar Harian Selayang ke bangunan baharu itu telah ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu pada 1 Jan dan 1 April lepas bagi membolehkan kerja ubah suai dilakukan.
Sementara itu, Merinyu Kanan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Shamsul Bahari Ismail berkata antara 60 hingga 70 peratus daripada 534 peniaga telah mula berpindah ke pasar baharu itu semalam.
"Daripada jumlah itu, 65 peratus sudah mula berniaga dan meyusun barang di premis baharu. Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 pula berada di tahap yang baik termasuk disediakan laluan khas untuk masuk dan keluar," katanya sambil menambah operasi perniagaan bermula dari 6 pagi hingga 2 petang sahaja sepanjang pelaksanaan sekatan perjalanan.
Shamsul Bahari berkata 220 tapak premis yang berkeluasan lapan kali lapan kaki persegi yang disediakan di pasar itu masih dalam proses tawaran dan temu duga kepada peniaga baharu.
Sementara itu, peniaga ikan air tawar, Norizah Saptu, 40, berkata jualan pada hari pertama agak menurun kerana kurang pengunjung dan hanya berharap kepada pelanggang tetap sahaja.
"Mungkin tempat baharu, ramai yang masih dalam suasana untuk menyesuaikan diri, jadi ia akan mengambil masa, apatah lagi sekarang dalam suasana 'lockdown' yang telah mengehadkan pergerakan orang ramai," katanya.
Peniaga santan Rokiah Mohd Isa, 68, pula berkata beliau berharap premisnya dapat diubah suai pada masa akan datang memandangkan tempat baharu agak sempit bagi menempatkan mesin santan yang besar.
"Saya berharap tempat ini dibesarkan sedikit, satu ruang untuk mesin perah santan, satu lagi untuk ruang kita berniaga dan berurusan dengan pembeli, barulah keselamatan dan keselesaan terjamin," katanya yang dapat menjual 60 kilogram santan pada hari pertama berniaga di pasar baharu itu.
-- BERNAMA
#CCTV #SOP #pandemik #COVID-19 #Bumiputera #lockdown
;