Pasar Datuk Keramat terbakar lagi
Afiezy Azaman
Jun 10, 2022 05:00 MYT
Jun 10, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Deretan gerai di Pasar Datuk Keramat, di sini, sekali lagi terlibat dalam kebakaran yang berlaku awal pagi, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 pagi.
"Seramai 47 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak, dan BBP Setapak bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian.
"Setibanya anggota, api dalam keadaan sangat marak dengan kebakaran melibatkan deretan lot gerai dan anggaran kemusnahan 50 peratus.
"Malah kebakaran turut melibatkan sebahagian rumah berhampiran dengan kemusnahan dianggarkan 10 peratus.
"Api marak dengan besar disebabkan bahan binaan kedai berkenaan yang terdiri daripada kayu," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
PGO JBPM Kuala Lumpur turut menyatakan kaedah pemadaman dilaksanakan secara 'offensive firefigthing' dengan memasuki premis dan 'defensive firefighting' iaitu pemadaman dari luar bangunan.
" Ini dapat mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.
"Kebakaran berjaya dikawal pada 2.11 pagi dan tiada mangsa terlibat. Punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.
Sebelum ini, pada 17 Mac 2021, lebih 40 gerai di Pasar Datuk Keramat terbakar namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.