Pasar Berek 12 dibuka malam tadi, bantu orang ramai dapatkan barangan keperluan

Muhafandi Muhamad
Mei 2, 2022 13:42 MYT
Peniaga di Pasar Berek 12 Kota Bharu membuka perniagaan mereka malam tadi sejurus pengumuman hari raya disempurnakan. - Gambar Astro AWANI
KOTA BHARU: Pasar Berek 12 di sini, membuka perniagaannya malam tadi sejurus pengumuman hari raya disempurnakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Tindakan sebahagian peniaga yang membuka perniagaan menjual sayur, ikan dan buah buahan itu dilakukan selepas menyedari orang ramai tidak sempat membeli barangan basah termasuk bahan mentah untuk memasak.
Ini adalah kerana, sebilangan besar daripada umat Islam menjangkakan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini akan disambut esok (3 Mei), justeru, tidak banyak persiapan yang dapat dilakukan.
Bagi peniaga ikan, Norafaikha Kamaruddin, ini merupakan pengalaman kali pertama buatnya menjual baragan keperluan pada waktu malam.
Katanya, hasratnya berbuat demikian adalah kerana memahami bahawa itu merupakan keperluan orang ramai khususnya buat umat Islam yang meraikan lebaran hari ini.
“Saya fikir macam mana orang ramai kalau tiada lauk (untuk juadah di hari raya) menyebabkan saya buka (gerai) semuanya dibuat di saat akhir, (walaupun) buka lewat (malam) masih ramai yang datang beli. Ini pengalaman pertama buka di waktu malam,” kata Norafaikha berkongsi pengalaman.
Peniaga santan, Che Mas Che Leh pula berkata, dia berasa tidak sampai hati dan kasihan mengenangkan sebilangan besar masyarakat tidak berkesempatan membuat persiapan untuk memasak sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Raya kan mengejut, jadi terpaksa buka kedai sebab kasihan orang ramai,” ujar Che Mas.
Walaupun dalam notis singkat dan serba kekalutan, peniaga sayur, Suhaini Abdullah, tidak kisah keluar berniaga di waktu malam dengan niat menyelesaikan masalah orang ramai.
“(Kebetulan) stok banyak, jadi saya keluar juga berniaga,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Nor Ikram Adenan yang juga seorang pekerja swasta, berikutan tiada barangan keperluan untuk memasak di rumah menyebabkan dia diminta oleh ibunya untuk keluar berbelanja.
“Saya datang beli sayur, lada dan lain-lain. Terkejut juga sebab barang di rumah tidak ada langsung, tak boleh masak dan tak boleh nak makan,” kata Nor Ikram yang mengakui dia sekeluarga juga tergamam bila diumumkan Hari Raya Aidilfitri disambut hari ini.
Rata-rata peniaga yang mengambil inisiatif membuka perniagaan di pasar malam tadi sebagai usaha membantu masyarakat yang tidak mempunyai barangan keperluan memasak serta barangan basah hari ini.
Sementara hari ini pula, semua aktiviti urus niaga dan premis perniagaan di seluruh negeri Kelantan ditutup sempena sambutan Aidilfitri.
Hari raya yang disambut hari ini mengejutkan ramai pihak yang kebanyakkan darinya masih belum membuat persiapan khasnya persiapan makanan dan juga lauk-pauk.
#Hari Raya Aidilfitri #Pasar Berek 12 #Barangan Keperluan #Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
;