Pasar awam baharu bukti BN prihatin keperluan penduduk Semporna

Bernama
Januari 20, 2018 05:19 MYT
RAMLEE: Projek bernilai RM8 juta dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu yang dibina bagi menggantikan pasar lama. - Foto BERNAMA
Pasar Awam Sejahtera yang baharu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan akan datang adalah satu lagi bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap keperluan penduduk di Semporna.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, projek bernilai RM8 juta dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu yang dibina bagi menggantikan pasar lama, pastinya akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.
"Pasar baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 1.5 ekar itu akan menyediakan 171 gerai menjual ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan makanan laut kering.
"Pasar baharu ini juga akan memberi keutamaan kepada peniaga dari Semporna dengan mengkaji semula lesen lama bagi memastikan tapak tersebut hanya akan disewakan kepada penduduk Semporna," katanya, sambil berharap kontraktor terbabit dapat mempercepatkan pembinaan dan menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual.
Ramlee berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian waran projek berkenaan kepada kontraktor, di sini hari ini.
Ramlee berkata, pembinaan pasar baharu itu adalah antara usaha BN dan pemimpin setempat dalam mentransformasikan Semporna.
Katanya, masih terdapat banyak perancangan yang akan dilaksanakan bagi membangunkan kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ramlee yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri berkata, majlis hari ini juga menyangkal dakwaan pembangkang bahawa segala perancangan kerajaan BN adalah gimik.
Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sentiasa komited dalam memenuhi janji yang dibuat.
"Kita (BN) sentiasa mengambil kira manfaat jangka panjang bagi rakyat dalam setiap pembangunan yang dirancang atau dilaksanakan.
"Apa rakyat harus faham adalah semua perancangan memerlukan masa untuk dilaksanakan dan Barisan Nasional hanya bercakap mengenai perkara yang boleh dilakukan," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #kerajaan #pasar awam #peniaga #rakyat #Ramlee Marahaban #Semporna #UMNO
;