Pasar Awam Apollo diarah tutup, gagal patuhi SOP

Bernama
Januari 17, 2021 14:26 MYT
Operasi bersepadu pemantauan patuh SOP diadakan di Pasar Awam Apollo hari ini, melibatkan polis, Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai. - Gambar fail
BUTTERWORTH: Pasar Awam Apollo di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula esok kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai hari ini, didapati keadaan di pasar itu terlalu sesak sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.
"Penganjur juga tidak mengawal had keluar masuk pelanggan ke dalam pasar selain laluan masuk tidak ditandakan jarak fizikal dan orang awam beratur hingga ke bahu jalan sehingga membahayakan pengunjung," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihak berkuasa membuat pemeriksaan berkala di tiga buah pasar yang menjadi tumpuan orang ramai di daerah tersebut, iaitu Pasar Awam Air Itam, Pasar Awam Jalan Perak dan Pasar Awam Jelutong.
"Selepas membuat beberapa penyesuaian bersama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang, antaranya menutup beberapa batang jalan di kawasan pasar terlibat dan mengatur semula penjaja di luar pasar telah membantu mengurangkan kesesakan," katanya, menambah pengunjung juga mematuhi SOP.
-- BERNAMA
#pasar awam #tutup #COVID-19 #Majlis Bandaraya Pulau Pinang #Noorzainy Mohd Noor #Pasar Awam Apollo #SOP #polis #Seberang Perai #Soffian Santong #operasi #PKP #pemeriksaan berkala #sesak #penjarakan fizikal
;