Pasangan warga emas terperangkap lebih 24 jam dalam lif
Bernama
Julai 2, 2017 19:17 MYT
Julai 2, 2017 19:17 MYT
Terperangkap dalam lif selama lebih 24 jam di sebuah pasaraya di sini – dari 11.30 pagi Jumaat hingga pukul 1 petang semalam.
Ketika diselamatkan, pasangan warga emas Md Dahalan Baki, 74, dan isterinya Ahadiyah Zakaria, 70, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan lemah kerana terkurung tanpa makan dan minum.
Sebelum itu pada Jumaat, menyedari kedua-dua orang tuanya itu tidak pulang setelah keluar membeli barang, Sa'adiah, 43, telah membuat laporan di Balai Polis Jelapang di sini.
Selepas sehari berlalu, semalam mengsyaki ibu dan bapanya pergi ke sebuah pasaraya di Meru Raya, Saadiah keluar mencari mereka di sana.
Beliau menemui Proton Wira Aeroback milik ayahnya di tempat letak kereta di premis tersebut.
Wanita itu bergegas ke kawasan lif bersama pengawal keselamatan pasaraya sebelum terdengar suara ayahnya meminta tolong. Lif itu dikatakan rosak.
Setelah lif berjaya dibuka, pasangan yang tidak bermaya itu dikejarkan ke hospital oleh ambulans. Keadaan mereka kini stabil.
Sa'adiah menyatakan amat kesal kerana pasaraya berkenaan terlalu cuai hingga tidak dapat mengesan pelanggan terperangkap dalam lif.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
-- BERNAMA