Pasangan warga emas maut tersepit dalam nahas kereta-lori di Tampin
Sinar Harian
Januari 21, 2021 11:37 MYT
Januari 21, 2021 11:37 MYT
TAMPIN: Pasangan suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Gedok, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.46 malam itu, mangsa Mohamad Ismail, 70, dan Halijah Hamat, 62, yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Palong 3, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.46 malam dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.52 malam.
"Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan lori lima tan yang membawa muatan kayu.
"Ketika bomba sampai di lokasi kejadian, pasangan itu didapati masih tersepit di dalam kereta mereka dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat kedua-duanya," katanya, di sini, pada Khamis.
Menurut Norfaizal, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut," ujarnya.
#kemalangan
#maut
#warga emas
#lori muatan kayu
#Mohamad Ismail
#Halijah Hamat
#Felda Palong 3
#Norfaizal Ahmad
#maut tersepit
#Tampin