Pasangan warga emas maut motosikal bertembung kereta di Teluk Intan

Nazialita Geynna Maharan
Jun 29, 2018 23:33 MYT
Sepasang suami isteri warga Indonesia maut selepas tercampak dari motosikal mereka dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 47, Jalan Teluk Intan-Sitiawan. -Astro AWANI
Sepasang suami isteri warga Indonesia maut selepas tercampak dari motosikal mereka dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 47, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat sini, pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian itu, suami dan juga penunggang berusia 65 tahun dan isterinya, 66 tahun, dirempuh kereta jenis Perodua Alza.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohammad Marzukhi Mohammad Mokhtar berkata insiden berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan itu terbabas ke laluan bertentangan.
“Siasatan awal mendapati Alza tersebut disyaki terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa, justeru menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak ke tepi jalan.
“Isteri yang merupakan pembonceng tercampak ke dalam parit berhampiran dan kedua-dua mereka disahkan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Jumaat.
Katanya, pemandu kereta yang bekerja sebagai jurujual itu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
"Mayat kedua-dua suami isteri itu telah dihantar bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
#Hospital #kemalangan #kereta #maut #mayat #warga Indonesia
;