Pasangan warga emas mati ditetak

Astro Awani
November 25, 2014 07:40 MYT
Pasangan warga emas mati ditetak
Sepasang suami isteri ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di belakang leher di rumah mereka di Taman Desa Bidara di Kuala Ketil, Kedah.
Dalam kejadian kira -kira jam 12 tengahari itu, mayat mangsa Zahari Yahya, 66 tahun dan isteri Salmah Hussin, 61 tahun, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak dengan senjata tajam di ruang tamu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya berkata, mangsa adalah pesara kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim manakala isterinya pesara Klinik Kesihatan Kuala Ketil.
Ujarnya, polis menerima laporan kejadian jam 12.20 tengahari tadi selepas anak angkatnya pulang dari tempat kerja.
Nashir berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk atau kehilangan barang berharga milik kedua-dua mangsa.
“Kejadian diketahui apabila anak angkat mereka pulang dari tempat kerja dalam jam 12 tengahari. Dia nampak kedua orang tuanya terbaring dan terus minta tolong orang kampung di sini. Kami mendapat panggilan telefon dari orang ramai.
“Setakat ini tidak ada tanda kesan samun, duit pun ada dalam keadaan elok lagi.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya sambil menambah anak angkat pasangan itu yang berusia 20-an telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seskyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, jiran mangsa Mohd Suhaimi Ab Bakar berkata dia terkejut dengan kejadian tersebut dan tidak menyangka kedua-dua warga emas itu mati dalam keadaan yang mengerikan.
Katanya, malam sebelum kejadian dia ada mendengar berlaku pertengkaran di rumah mangsa namun tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.
“Memang mereka ada masalah keluarga semalam. Saya terdengar ada pergaduhan, kedengaran diucap berulang kali ‘hang ni selalu minta duit, hang ni selalu minta duit’. Saya terkejut tapi memang mereka selalu gaduh. Mereka sudah lama duduk sini, dekat 10 tahun,” kata Mohd Suhaimi.
#Kuala Ketil #mati #Tetak #warga tua
;