Pasangan warga emas kerah kudrat jaga tiga anak OKU

Bernama
Disember 16, 2021 11:44 MYT
Wan Idris (kiri) dan isteri Senanim (tengah) bersama tiga anaknya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Batangan. - Foto BERNAMA
MARANG: Di saat warga emas lain menghabiskan usia senja mereka dengan berehat atau bermain bersama cucu, namun bagi pasangan warga emas ini mereka masih perlu membanting tulang empat kerat untuk menjaga tiga anak Orang Kurang Upaya (OKU).
Wan Idris Musa, 67, dan isterinya, Senanim Omar, 68, mengerah kudrat menguruskan anak kedua dan ketiga mereka iaitu Wan Zulaikhar, 38, dan Wan Nurul Izzati, 34, yang tidak boleh berjalan serta bercakap akibat menghidap penyakit saraf sejak kecil.
Beliau berkata anak bongsunya pula, Wan Mohd Zaki, 32, merupakan OKU mental sejak berusia 15 tahun dan sentiasa memerlukan perhatian rapi.
"Hanya anak sulung iaitu Wan Zulkifli, 40, adalah normal namun dia telah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Jadi, hanya pak cik dan mak cik yang menguruskan mereka bertiga.
"Kakak (Wan Zulaikhar) dan adik (Wan Nurul Izzati) tidak boleh berjalan langsung. Kalau hendak ke mana-mana malah dari ruang tamu ke dapur sekali pun pak cik yang akan dukung. Bercakap pun tidak boleh dan mereka hanya mampu merengek," katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Batangan, di sini.
Wan Idris berkata Wan Mohd Zaki pula tidak boleh dibiarkan sendirian kerana bimbang dia akan keluar rumah dan tidak tahu jalan pulang.
Menurutnya keadaan tubuh Wan Zulaikhar dan Wan Nurul Izzati yang lembik dan rumah kayunya yang bertangga menyebabkan beliau dan isteri tidak boleh menggunakan kerusi roda untuk menguruskan anak-anaknya itu malah sekitar tiga minggu lepas isterinya pernah terjatuh dan mengalami sakit tulang belakang ketika mengangkat Wan Zulaikhar untuk mandi.
Selain itu, Wan Idris juga terpaksa menahan kesakitan setiap kali dipukul dan ditumbuk Wan Mohd Zaki yang adakalanya bersikap agresif.
Berikutan keadaan ketiga-tiga anak istimewa itu, Wan Idris tidak dapat bekerja dan perbelanjaan harian lima sekeluarga tersebut bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang keseluruhan berjumlah RM1,300 sebulan.
"Mujurlah pak cik dan mak cik dapat bantuan RM1,000 di bawah kategori penjaga manakala Wan Mohd Zaki pula menerima bantuan OKU sebanyak RM300. Cukup untuk perbelanjaan kami. Makan asalkan untuk kenyang sahaja dan tidak mampu untuk bermewah," katanya.
Beliau juga bersyukur kerana Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang turut menyalurkan bantuan seperti lampin pakai buang dan barangan keperluan asas yang dapat meringankan bebannya dan isteri.
Sementara itu, Senanim mengakui pernah berasa risau mengenai nasib tiga beradik itu apabila beliau dan suami telah tiada memandangkan tiada sesiapa boleh menguruskan anak-anak mereka.
"Apabila mak cik fikir balik, mereka bertiga merupakan anugerah daripada Allah, sakit mereka pun Allah yang takdirkan jadi mak cik berserah sahaja kepada Allah apa akan jadi pada masa hadapan," katanya.
Selain solat dan membaca al-Quran, wanita cekal itu menjadikan aktiviti membersihkan halaman rumah dan menanam pokok sebagai terapi sekiranya beliau berasa penat serta tertekan menguruskan anak-anaknya itu.
-- BERNAMA
#warga emas #anak OKU #Wan Idris Musa #Senanim Omar
;