Pasangan warga emas, cucu maut nahas kebakaran rumah

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 9, 2024 09:30 MYT
Dua warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, awal pagi tadi.
PAGOH: Dua warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, seorang lagi cucu perempuan pasangan itu yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
“Menurut saksi kejadian, kebakaran itu berlaku sekitar pukul 1.30 pagi tadi… tempat kejadian merupakan sebuah rumah jenis separuh kayu dan batu.
“Dua warga emas ini disahkan maut di lokasi kejadian manakala kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia ketika menerima dibawa ke HPSF,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang turut terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih menerima rawatan di HPSF.
“Kemusnahan rumah dianggarkan sekitar 85 peratus dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,”tambahnya.
#kebakaran #warga emas maut #Kampung Paya Redan #Hospital Pakar Sultanah Fatimah
;