Pasangan warga emas cedera diragut selepas pulang dari dengar ceramah

Vivi Sumanti
Jun 25, 2019 22:49 MYT
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Alias cedera parah pada bahagian lengan dan kaki manakala isterinya, Rahimah cedera pada bahagian mulut. Astro AWANI
Sepasang warga emas cedera selepas diragut dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Keting, Bachok, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Alias Awang, 64 tahun, cedera parah pada bahagian lengan dan kaki kanan manakala isterinya, Rahimah Mat Hasan, 56 tahun, cedera pada bahagian mulut.
Pasangan itu baru pulang daripada mendengar kuliah agama di sebuah pasar tani iaitu Pasar Selasa di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh.
Sementara itu, anak mangsa, Mohammad Ayub, 35 tahun, berkata, ketika kejadian ibu bapanya sedang menaiki motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pauh Lima.
“Mereka baru keluar dari pasar kira-kira 50 meter sebelum dikejar dua peragut menaiki sebuah motosikal dari arah Kedai Menanti ke Kampung Keting.
"Menurut ayah, peragut itu tiba-tiba mengejar mereka dan cuba merampas beg yang diletakkan di atas riba ibu.
"Tindakan itu menyebabkan ayah dan mak terjatuh dari motosikal dan cedera teruk akibat terkena bahagian pada motosikal dan jalan raya manakala peragut itu tidak berjaya mendapat apa-apa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, selepas terjatuh, salah seorang peragut masih cuba merampas beg milik ibunya, namun wanita itu sempat memulas tali beg dan kebetulan penduduk kampung melalui jalan itu menyebabkan dua peragut itu melarikan diri.
Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Ayub turut memuat naik gambar kecederaan ibu bapanya dalam kejadian itu di Facebook miliknya pada jam 5 petang tadi dan sehingga kini status itu dikongsi lebih 350 pelayar internet.
Katanya, tujuan dia berbuat demikian supaya kejadian malang itu mendapat iktibar masyarakat dan pihak keluarga akan membuat laporan polis sebaik selesai mengurus bapanya masuk wad di HRPZII, Kota Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi meminta keluarga mangsa segera membuat laporan polis berhubung kejadian.
#Bachok #beg tangan #ceramah #Facebook #Hospital #jatuh motosikal #pasar tani #polis #ragut #Tumpat #warga emas
;