Pasangan tunang disyaki langgar lari polis direman seminggu

Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2024 14:09 MYT
Majistret membenarkan kedua-dua suspek yang sudah bertunang serta berumur 33 dan 34 tahun itu, direman mulai hari ini hingga 12 Februari. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam insiden seorang anggota polis cedera dilanggar sebuah kereta ketika melakukan rondaan di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor malam Ahad, direman tujuh hari.
Majistret Siti Nora Sharif pada Selasa membenarkan kedua-dua suspek yang sudah bertunang serta berumur 33 dan 34 tahun itu, direman mulai hari ini hingga 12 Februari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam Ahad, seorang anggota polis berumur 34 tahun, patah tulang rusuk dan tulang bahu akibat dilanggar dua kali oleh sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan - Chemor.
Siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang lagi anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di jalan berkenaan telah menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Pemandu kereta tersebut bagaimanapun telah bertindak mengundurkan kenderaan itu lalu melanggar motosikal mangsa, menyebabkannya terjatuh.
Setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa kali kedua, sebelum melarikan diri ke arah Tanah Hitam.
Kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditahan pada Isnin, kurang 24 jam daripada kejadian, hasil maklumat orang awam.
#pasangan tunang #langgar lari polis #Jalan Tanjung Rambutan #Chemor #direman
;