Pasangan suami isteri tidak sangka dua kali tolak tawaran, masih ada rezeki tunai haji tahun ini
Azlinariah Abdullah
April 20, 2024 08:00 MYT
April 20, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kalau namanya sudah rezeki dan tertulis, ia tidak pernah salah alamat.
Dua kali tolak tawaran untuk menjadi 'Duyufurrahman', pada 2020 dan 2023, pasangan suami isteri, Azahar Mahamad dan Rohani Abdul Ghani tidak menyangka mendapat surat dijemput Illahi menunaikan haji tahun ini, bagi musim 1445H/2024M.
Surat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH) diterima mereka semasa bulan Ramadan di ketika mana orang lain sibuk memikirkan persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Orang lain sibuk fikir apa fesyen baju baharu, apa hidangan kuih raya, tetapi kami suami isteri ligat memikirkan apa persediaan terbaik untuk memantapkan diri menjadi tetamu Allah dan beribadat di sana nanti," kata Rohani semasa ditemui Astro AWANI di kediamannya di Alam Damai Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, semasa tahun 2020 mereka mendapat tawaran pertama untuk menunaikan haji tetapi diminta atau dinasihatkan untuk tidak ke sana memandangkan pada masa itu kes COVID-19 masih tinggi dan mudah menular lebih-lebih lagi dalam perhimpunan mega seperti ketika menunaikan haji dan umrah.
"Kali kedua mendapat tawaran, saya dapat, tetapi suami tidak dapat. Saya fikir, ya kalau ke sana seorang diri dan bukan sebagai suami isteri, seperti tidak lengkap pula, jadi saya tolak.
"Tetapi apabila mendapat tawaran sekali lagi pada bulan puasa lalu, kami senada untuk tidak tolak lagi sebab kami merasakan jika tolak lagi, mungkin tiada lagi rezeki selepas ini," tambah Rohani.
Ditanya mengenai persediaan sebagai tetamu Allah, Azahar berkata, apa yang penting ialah mengambil perkongsian pengalaman rakan-rakan serta jemaah yang pernah ke sana sebelum ini, khususnya mengenai persediaan fizikal dan mental selain penjagaan kesihatan yang optimum.
Kata Azahar, selepas surat tawaran berada di dalam tangan, dia dan isteri giat membuat persiapan demi memastikan mereka memperoleh haji yang mabrur untuk musim kali ini.
"Kami banyak membaca buku, berjumpa jemaah-jemaah lain, petugas haji dan sebagainya untuk mereka berkongsi pengalaman. Walaupun biasa menunaikan umrah, ini pengalaman pertama mengerjakan haji, situasinya mungkin berlainan.
"Cabarannya pasti berbeza. Jadi, saya ambil panduan dan manfaat pengalaman daripada mereka yang pernah ke sana sebelum ini.
"Saya dan isteri juga mengambil berat soal kesihatan di mana setiap hari kami akan berjalan dan bersenam ringan sebagai persediaan semasa di sana kerana sememangnya akan memerlukan kami berjalan jauh nanti," ujar Azahar.
Bagi Rohani pula, apa yang difikirkan sekarang sebagai bakal jemaah haji, dia berusaha mendidik diri dengan sifat-sifat sabar dan bertolak ansur selain mensucikan hati untuk menjadi hamba kepada Yang Maha Esa.
Sama seperti bakal jemaah haji lain, pasangan suami isteri ini turut berkongsi kebimbangan setibanya di sana nanti untuk menunaikan haji.
Antara kerisauan itu termasuk bilangan jemaah yang ramai, kesesakan semasa melakukan ibadah serta cuaca yang panas terik semasa melaksanakan rukun dan syarat sah haji nanti, iaitu pada bulan Jun.
"Namun apa yang kami mampu lakukan sekarang ialah berdoa tidak putus-putus kepada Allah supaya permudahkan urusan bermula di tanah air, semasa di Mekah dan Madinah melakukan ibadat dan selepas pulang nanti, " ujar mereka.
Memilih untuk pergi ke Tanah Suci secara Muassasah, kedua-dua mereka yakin dengan kewibawaan dan prestasi TH dalam menguruskan jemaah walaupun bilangannya ramai dan kemudahan terbatas disediakan kerajaan Arab Saudi semasa musim haji.
"Daripada cerita rakan-rakan, jemaah sebelum ini dan sebagainya, kami yakin TH cukup kelengkapan, pengalaman dan sumber untuk menangani pelbagai isu berkait dengan haji. Itu sebabnya kami tidak ragu-ragu memilih TH secara Muassasah bagi menunaikan haji tahun ini."
Kini, mereka berdua menunggu tarikh 27 dan 28 April ini untuk menyertai Kursus Perdana Haji secara berperingkat bermula minggu ini, yang dianjurkan TH bersama Majlis Agama Negeri masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini sebanyak 31,600 orang jemaah.
Tabung Haji sebelum ini mengumumkan bahawa penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia pada tahun ini dijadualkan pada 9 Mei ini.
Manakala penerbangan terakhir jemaah haji ke Arab Saudi pula dijadualkan pada 9 Jun ini.
Hari Wukuf pula dijangkakan pada 15 Jun 2024.