Pasangan suami isteri rugi lebih RM60,000 tanaman cili rosak

Bernama
Disember 19, 2019 18:57 MYT
Marina menunjukkan sebahagian ladang cili yang diusahakan oleh beliau dan suami, terjejas selepas ditenggelami banjir. - Bernama
Sepasang suami isteri terpaksa akur tanaman cili mereka di Kampung Tualang Tiga, dekat Tanjung Gemok, rosak sepenuhnya, akibat banjir sehingga mengalami kerugian lebih RM60,000.
Marina Ibrahim, 40, berkata ladang cili seluas enam ekar itu baharu sahaja ditanam awal bulan lepas dan sepatutnya sudah boleh dituai bulan ini.
Bagaimanapun, 22,880 anak pokok yang ditanamnya rosak, menyebabkan tuaian tidak dapat diteruskan sebaliknya terpaksa menunggu untuk menanam pokok yang baru.
"Lebih kurang 60 kilo(gram) hasil cili kita yang dah timbang, didapati rosaklah. Nak buat macam mana, ini antara keadaan yang kita terpaksa hadapi. Kami reda dengan keadaan ini, bagaimanapun, kami tidak putus asa untuk teruskan juga," katanya ketika ditemui di ladangnya, di sini, petang ini.
Turut meninjau kerosakan tanaman itu ialah Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur Mohd Ainuddin Wahid.
Marina, adalah salah seorang daripada 2,000 ahli PPK, yang mana perusahaan cili turut mendapat pemantauan dari pertubuhan itu.
Sebelum ini, hasil pengeluaran cili boleh diraih sebanyak 300 kilogram sehari, kata ibu kepada empat orang anak itu yang telah melibatkan diri dengan tanaman cili sejak 23 tahun lalu.
Sementara itu, suaminya Mahdan Maun, 54, mengakui harga cili yang dibeli pemborong sejak dua tahun lepas sedikit menurun dan meraih harga dalam RM5 hingga RM9 sekilogram dalam dua tahun kebelakangan ini.
"Kalau dulu, harganya boleh cecah sehingga RM14 sekilogram, " katanya lagi.
Namun, lebih 80 peratus pendapatan mereka terjejas sejak banjir dan ini bukan kali pertama tanaman mereka rosak ekoran banjir.
Dalam pada itu, Mohd Ainuddin berkata ahli PPK yang terjejas boleh memohon untuk pinjaman tanpa faedah di bawah Tabung Bencana Pembangunan Usahawan Ladang.
-- BERNAMA
#kampung tualang tiga #mangsa banjir #Marina Ibrahim #pekebun #pengusaha kebun #tanaman rosak #tanjung gemok
;