Pasangan suami isteri mandi pantai sebelum Subuh hilang, dikhuatiri lemas
Astro Awani
Mei 20, 2022 14:16 MYT
Mei 20, 2022 14:16 MYT
KEMAMAN: Sepasang suami isteri dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal, di sini pada awal pagi Jumaat.
Pasangan yang berasal dari Temerloh, Pahang itu dikatakan turun ke pantai berkenaan kira-kira jam 4 pagi untuk mandi.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Garib Ab Kadir, 60, dan isterinya Rokiah Abd Rahman, 59, disedari hilang oleh anak mereka sekitar jam 5 pagi.
Menyedari kehilangan kedua-dua mereka, anak mangsa telah membuat pencarian di kawasan sekitar namun gagal menemui mereka sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kijal, Mohamad Adri Mat Harun berkata sejurus menerima maklumat pada jam 5.43 pagi, seramai lapan anggota telah digegaskan ke lokasi kejadian.
Katanya menerusi maklumat anak mangsa, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dikhuatiri lemas selepas menemui selipar serta barang peribadi mangsa termasuk tikar masih berada di tepi pantai .
Mohamad Adri berkata operasi bagi mengesan kedua-dua mangsa terus pergiatkan pada skala 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Jelasnya operasi pencarian itu turut melibatkan kekuatan 61 anggota termasuk polis, komuniti nelayan sekitar selain pasukan skuba bomba.