Pasangan suami isteri hasil empat tan arang daripada tempurung

Muhafandi Muhamad
Jun 6, 2021 12:17 MYT
Azman bersama isterinya mendapat idea selepas melihat pembaziran tempurung kelapa di kawasan Bandar Gua Musang. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan berjaya menghasilkan lebih empat tan arang daripada tempurung kelapa sekali gus mengurangkan lambakan bahan buangan tempurung kelapa.
Azman Tamilselvan Abdullah, 40 tahun, bersama isterinya Aisyah Chang, 38 tahun, mendapat idea selepas melihat pembaziran tempurung kelapa di kawasan Bandar Gua Musang.
Situasi itu memberi inspirasi kepada mereka untuk menjana pendapatan keluarga.
Menurut Azman, arang tempurung yang dihasilkan melalui proses pembakaran tertutup menggunakan tong logam yang memakan masa kira-kira dua hari.
Katanya, sejak menceburi bidang itu tiga tahun lalu, proses itu tidak melibatkan kos tinggi dan dilakukan di kawasan kebun sayur miliknya sahaja.
"Kalau ikut pembeli atau kilang, dia hendak kandungan air rendah. Kalau kandungan air tinggi kita tidak dapat jual sebab ia komersial untuk import eksport. Tempurung kelapa ini dieksport ke China, Jepun, Dubai dan menjadi produk untuk water filter, kosmetik dan buat sisha, semuanya perlukan arang yang kandungan airnya amat rendah.
"Jadi kalau kita tidak menjaga proses untuk pemadaman api dengan sistem pendinginan, penjualan kita itu terganggu. Jadi kepada saya walaupun lama, tidak mengapa sebab kita hendak hasil yang berkualiti," katanya.
Sementara itu, isterinya, Aisyah berkata, pihak pengilang di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur membeli arang mereka sebelum ia dieksport ke luar negara
"Kita tidak pergi kursus, cuma belajar sendiri, kita tengok kenapa tidak masak, selepas tu macam mana hendak padam api, tetapi ada jugalah tanya kawan-kawan dan ada belajar melalui YouTube.
"Tetapi belajar pun kita hendak tengok kesesuaian, kita buat macam mereka selepas itu fikir tidak sesuai, kita ubah ikut selera kita sendiri, cara hendak tudung, kurangkan asap dia," ujarnya.
Tambah Aisyah, mereka berharap agensi kerajaan berkaitan dapat membantu mereka menaiktaraf proses membuat arang tempurung seperti menyediakan tempat pembinaan dan berteduh yang lebih sistematik.
#arang #tempurung kelapa #YouTube #sisha #eksport #kosmetik
;