Pasangan suami isteri dan anak perempuan maut, lori dinaiki 7 sekeluarga terbabas
Ruzaini Zulkepli
April 1, 2021 13:42 MYT
April 1, 2021 13:42 MYT
PAPAR: Sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan mereka maut selepas lori dinaiki terbabas di Kilometer 42 Jalan Kimanis-Keningau, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, empat lagi anak pasangan terbabit cedera termasuk seorang parah dan kini menerima rawatan di Hospital Papar.
Difahamkan, lori yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit dikatakan sedang membawa muatan sebuah van, bergerak dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, lori terbabit dipercayai dipandu laju sebelum tiba-tiba hilang kawalan.
Katanya, lori berkenaan terus terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing bukit dalam keadaan menuruni bukit.
"Polis percaya brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik dan akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori manakala isteri dan salah seorang anak perempuannya pula terhumban keluar.
"Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan segera.
Katanya, tiga mangsa yang maut berusia 12 hingga 40 tahun manakala empat yang cedera termasuk seorang parah berusia lingkungan 4 hingga 15 tahun.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
#kemalangan Papar
#kemalangan
#maut
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#suami isteri maut
#meninggal dunia