Pasangan suami isteri dan anak lelaki nyaris lemas kereta terbabas dalam sungai
Bernama
Julai 7, 2024 22:30 MYT
Julai 7, 2024 22:30 MYT
KANGAR: Pasangan suami isteri serta anak lelaki mereka berusia tiga tahun nyaris lemas selepas kereta jenis Proton Pesona dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Jalan Kangar-Alor Setar, Kampung Tok Pulau dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma'at berkata bagaimanapun pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an bersama anak mereka terselamat namun wanita dan anak itu didapati tidak sedarkan diri ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Empat menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang dan tiba di lokasi itu lima minit kemudian untuk operasi menyelamat manakala operasi itu tamat pada jam jam 4 petang.
"Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian didapati tiga mangsa berkenaan berjaya diselamatkan orang awam.Namun, ibu dan anak itu tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan cemas (CPR) sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata lelaki itu bersama isteri dan anak mereka dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
-- BERNAMA