Pasangan suami isteri bunuh, sorok mayat jiran bawah katil direman enam hari
Umavathi Ramayah
Mac 10, 2021 19:23 MYT
Mac 10, 2021 19:23 MYT
SUBANG JAYA : Mahkamah Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari ke atas pasangan suami isteri yang dipercayai membunuh jiran mereka sebelum mayat wanita itu disorok di bawah katil rumah di tingkat dua sebuah blok pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, USJ 1 di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, perintah reman sehingga 15 Mac depan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Jenayah Tatacara bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.
Beliau turut memberitahu, mayat mangsa masih lagi ditempatkan di bilik forensik Hospital Serdang.
"Bedah siasat akan dilakukan sebaik sahaja keputusan ujian saringan COVID-19 diterima," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Media melaporkan, tindakan jiran itu terbongkar, selepas polis menjalankan siasatan berhubung kes seorang peniaga kuih warga Indonesia yang dilaporkan hilang oleh suaminya sejak dua hari yang lalu.
Menurut suami mangsa, warga tempatan berusia 47 tahun pada mulanya pulang ke rumah kira-kira pukul 7 malam dan mendapati pintu hadapan tidak berkunci sementara isterinya tidak berada di rumah.
Selepas gagal mencari isterinya, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis UJS 8 pada hari yang sama.
Semasa diambil keterangan, suami mangsa mengesyaki kehilangan isterinya ada kaitan dengan jiran mereka yang rumahnya terletak hanya kira-kira 10 meter.
Ini kerana dia ada mendengar cerita mengatakan jirannya menggadaikan barang kemas tidak lama selepas isterinya hilang dan mengetahui wanita berkenaan ada masalah kewangan serta hutang," katanya.
Susulan itu, katanya, wanita berusia 39 itu dipanggil ke Balai Polis USJ 8 untuk disoal siasat dan selepas hampir tiga jam, dia akhirnya mengaku membunuh mangsa di kediamannya.
Kira-kira jam 8 malam tadi, suspek dibawa ke rumahnya oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan menunjukkan mayat mangsa yang diselubung dengan selimut disorok di bawah katil.
Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan itu dipercayai berpunca masalah kewangan dihadapi suspek dan terdesak membayar hutang berjumlah kira-kira RM5,000.
Ketika kejadian suami suspek, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan bekerja sebagai kru produksi tiada di rumah namun turut ditahan bagi membantu siasatan.
#sorok mayat
#pasangan suami isteri
#ditahan reman
#IPD Subang Jaya
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan
#mati dibunuh
#masalah kewangan
#hutang