Pasangan suami isteri 'berlari' dengan persalinan pengantin

Raffi Bachik
November 12, 2017 16:44 MYT
Pasangan pengantin baru mengabadikan kenangan perkahwinan dengan mengikuti Charity Run di Kota Laksanamana Melaka.
Setiap pasangan pengantin pastinya akan ‘mencipta’ memori indah pada awal perkahwinan sebagai kenangan untuk diabadikan.
Bagi pasangan suami isteri Cho Kar Kuien, 32 dan Lim Chua Sia, 32 mereka memilih untuk mengabadikan kenangan perkahwinan mereka dengan berlari sejauh enam kilometer (km) dengan menggayakan persalinan pengantin dalam acara larian ‘Giving is Living Charity Run 2017’ di Kota Laksamana Melaka.
Lebih mengujakan apabila larian yang dilakukan pasangan pengantin itu turut mendapat sokongan seramai 17 rakan mereka yang sama-sama memakai skirt warna-warni.
Kar Kuien yang bekerja sebagai pakar IT di sebuah syarikat swasta di Melaka berkata, pada awalnya dia agak terkejut apabila isterinya yang sememangnya aktif dengan acara larian menyatakan hasrat untuk menyertai acara itu, lebih -lebih lagi dengan memakai baju pengantin.
Katanya, meskipun minatnya lebih kepada dunia teknologi, dia bersetuju dengan cadangan itu dan secara tidak langsung ianya adalah kenangan yang cukup berharga bagi dirinya dan isteri yang baru sehari melangsungkan majlis perkahwinan.
“Sebab isteri kata hendak cuba (berlari menggayakan persalinan pengantin) saya pun setuju. Ada juga perasaan segan tetapi tidak apa kerana saya anggap ini adalah kenangan perkahwinan kami,” katanya kepada pemberita selepas larian itu di sini.
Pasangan pengantin itu antara 500 peserta yang menyertai acara berkenaan yang diadakan seawal jam 6.30 pagi di Taman Kota Laksamana Jaya, Melaka.
Sementara itu, bagi Chua Sia, kenangan itu merupakan kenangan paling bermakna dalam hidupnya yang meminati sukan larian sejak kecil.
Katanya, pada awalnya agak sukar untuk memujuk suaminya dan idea untuk berlari dengan memakai gaun pengantin itu datang daripada ahli - ahli kumpulan lariannya iaitu ‘Malacca Skyhawk Marathon’.
Jelas Chua Sia, cinta kedua mempelai itu berputik empat tahun lepas dan dia berasa sangat gembira apabila hubungan mereka hingga ke jinjang pelamin.
#berlari #Giving is Living Charity Run 2017 #Kota Laksamana #Melaka #pakar IT #Pengantin #perkahwinan #persalinan pengantin #sukan
;