Pasangan rentung dalam pondok pengawal, polis tunggu laporan bedah siasat
Adie Sufian Zulkefli
Disember 12, 2022 18:54 MYT
Disember 12, 2022 18:54 MYT
ALOR SETAR: Polis sedang menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan identiti lelaki dan wanita yang ditemukan rentung dalam pondok pengawal di Taman Bayam Indah, Lunas, malam tadi.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan awal polis mendapati dua individu yang ditemukan rentung dalam pondok keselamatan itu adalah pasangan kekasih.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati dalam kejadian 10.56 malam itu pintu pondok berkunci dari dalam dan Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa mengopak pintu untuk memadam kebakaran dan mengeluarkan mayat terbabit.
Katanya, polis turut menunggu laporan lengkap siasatan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
"Setakat ini kita klasifikasikan sebagai mati mengejut, berdasarkan laporan bomba mendapati tiada elemen khianat. Pemeriksaan lanjut mendapati pondok keselamatan itu berkunci dari dalam dan setakat ini, siasatan terperinci masih dilakukan.
"Mungkin ketika kejadian mereka (mangsa) sedang tidur atau tak sedar, kita tunggu siasatan terperinci dilakukan terlebih dahulu.
"Mayat kedua-dua individu itu rentung antara 70 hingga 80 peratus dan sukar untuk dikenal pasti malah hasil pemeriksaan mendapati keadaan pondok keselamatan itu kecil," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Wan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa lelaki berusia 40-an dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ, manakala mangsa wanita berusia 20-an.
Beliau berkata, mayat pasangan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), untuk proses bedah siasat.
"Pasangan itu dipercayai warga tempatan dan akan melakukan pemeriksaan DNA (asid deoksiribonukleik) terlebih dahulu untuk mengesahkan identiti mangsa berkenaan.
"Selain itu, pemeriksaan juga mendapati tiada penyambungan masuk elektrik di situ dan ada sofa yang mungkin terbakar dalam keadaan mereka tak sedar," katanya.
Menurutnya, sekiranya ada unsur lain, pihaknya akan membuka kertas siasat.