Pasangan raja sehari pilih naik traktor di hari bahagia

Adie Sufian Zulkefli
Mei 2, 2015 19:03 MYT
Konsep menaiki traktor sebagai simbolik Kedah sebagai jelapang padi Malaysia. -Gambar: Astro AWANI
Pasangan raja sehari di Kuala Nerang, Kedah mengabdikan majlis perkahwinan mereka dengan menaiki jentera pembajak (traktor) yang dihiasi bunga-bungaan agar kelihatan menarik bagi tatapan hadirin.
Pasangan Mohd Amirul Firdaus Azizan dan Nor Saidahtul Afia Rosli masing-masing berusia 19 tahun mengadaptasikan konsep tersebut bagi meraikan tempoh percintaan yang panjang selain traktor sebagai simbolik Kedah sebagai negeri jelapang padi Malaysia.
Menurut Amirul, idea penggunaan traktor ini mendapat sokongan padu kedua-dua belah keluarga walaupun ia pernah digunakan untuk membajak sawah di kampungnya di kampung Bukit Payung, Pokok Sena.
Katanya lagi, traktor itu diubahsuai dan dihiasi bunga-bungaan oleh beliau sendiri bagi tujuan perarakan ke rumah pengantin perempuan di kilometer 19, Jalan Kuala Nerang sambil dibantu penduduk kampung.
Ternyata, selepas hampir dua bulan persiapan dilakukan, hasratnya bersama pasangannya tercapai apabila dapat menaiki traktor yang cantik dan berarak bersama kumpulan motosikal sepanjang lima ratus meter dari rumah pengantin perempuan.
Perarakan bersejarah itu turut mendapat perhatian pengguna jalan raya lain yang turut melambai kepada pasangan tersebut yang penuh berseri dengan mengenakan pakaian berwarna kuning.
Mohd Amirul Firdaus berkata idea penggunaan traktor ini mendapat sokongan padu kedua belah keluarga walaupun ia pernah digunakan untuk membajak sawah di kampungnya. - Foto Astro AWANI
Sebaik tiba, mereka disambut dengan paluan kompang oleh penduduk kampung sebelum menghadiri majlis makan raja sehari di bawah khemah yang dihiasi khas untuk pasangan istimewa ini.
Amirul berkata, beliau begitu teruja dan bersyukur kerana segala dugaan dan cabaran tempoh bercinta bersama pasangannya akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin pada usia yang muda.
Tambahan lagi ia diabadikan dengan menaiki traktor yang jarang-jarang dilakukan oleh pengantin lain sebelum ini dan akan diingati sampai bila-bila.
Amirul berkata mereka mula berkenalan sejak di tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Kuala Nerang sebelum melangsungkan pertunangan selepas tamat di tingkatan lima.
Ketika ini Amirul masih belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Gombak dalam bidang elektrik dan elektronik manakala isterinya baru menamatkan pengajian di matrikulasi Perak seminggu lalu.
Mohd Amirul Firdaus Azizan dan Nor Saidahtul Afia Rosli mula berkenalan sejak di tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Kuala Nerang sebelum melangsungkan pertunangan selepas tamat tingkatan lima. - Foto Astro AWANI
Kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk berkahwin bagi mengelak fitnah (sesuatu yang buruk berlaku) memandangkan sering keluar malam berjalan dan belajar bersama sebelum ini.
Sebelum ini, pasangan pengantin ini berarak menggunakan kereta kuda semasa majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki di Kampung Bukit Payung, Pokok Sena yang turut memberi pengalaman berharga buat pasangan ini.
Kira-kira dua ribu orang hadir pada majlis yang berlangsung hari ini.
#jentera pembajak #Kedah #Kuala Nerang #Pengantin #traktor
;