Pasangan pengantin cetus idea pakej sesi foto perkahwinan di Zoo Negara

Bernama
Disember 27, 2023 14:45 MYT
Juni (kanan) berkata mereka dibenarkan bergambar dengan mana-mana haiwan yang terdapat di zoo berkenaan. - Gambar/ X Bernama
KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin Muhammad Ikmal Hakim Norman, 25, dan isteri Juni S. Susantie Herman, 43, langsung tidak menduga sesi foto (photo shoot) bagi merekodkan kenangan perkahwinan mereka di Zoo Negara menjadi pencetus idea kepada pengurusan zoo untuk mewujudkan pakej sesi foto bagi raja sehari di zoo itu.
Niat pasangan itu pada mulanya hanya untuk menunjukkan kelainan bagi merakamkan kenangan perkahwinan mereka, namun tanpa diduga pihak pengurusan zoo tampil menjadikan acara sesi foto mereka itu begitu meriah dan diraikan oleh semua pengunjung yang berada di situ pada 24 Dis lepas.
Juni yang juga seorang usahawan berkata peristiwa menarik itu berlaku apabila beliau dan pasangan pergi ke Zoo Negara selepas majlis bersanding mereka pada 23 Dis lepas sekitar pukul 4 petang untuk sesi foto kerana pemandangan cantik di lokasi berkenaan.
"Selepas beberapa keping gambar diambil, kami dipanggil oleh salah seorang pekerja zoo, ingatkan kami dah langgar etika atau peraturan, namun tindakan kami itu telah mendapat perhatian daripada Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana yang berada di lokasi sama.
"Sewaktu itulah, timbalan presiden bertanyakan beberapa soalan dan mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada kami bergambar semula di zoo keesokkanya kerana waktu ketika itu sudah pun lewat petang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lanjut, Juni berkata keesokkan harinya, pihak Zoo Negara memberi peluang luar biasa kepada mereka, apabila dibenarkan masuk secara percuma bersama pengapit masing-masing dan diberi keizinan bergambar dengan mana-mana haiwan yang terdapat di zoo berkenaan.
"Ketibaan kami disambut seperti VIP, dibawa menaiki buggy, diarak dengan paluan kompang dan apabila sampai di lokasi persembahan anjing laut itu, kami menerima tepukan serta sorakan yang meriah oleh para pengunjung.
"Menariknya, kami mendapat ucapan tahniah daripada pelbagai bangsa dan pelancong asing yang melawati Zoo Negara pada hari berkenaan dan perkara itu telah menarik minat pelancong asing untuk bergambar bersama kami kerana busana perkahwinan tradisional yang dipakai masa itu," katanya.
Juni berkata aktiviti tidak terhenti di situ sahaja kerana mereka dibenarkan untuk memberi makanan kepada anjing laut sebelum menjamu selera, dengan makanan disediakan oleh pekerja Zoo Negara.
"Paling tidak dapat dilupakan oleh saya dan suami, kami diberikan kebenaran itu bergambar bersama reptilia seperti ular yang jarang-jarang diberi keizinan kepada orang awam, ini merupakan satu pengalaman yang unik buat kami.
"Kami amat berterima kasih atas layanan yang diberikan oleh pekerja Zoo Negara dan mereka sangat mesra, sentiasa bertanyakan apa lagi hajat kami yang ingin dilakukan sepanjang berlangsung sesi foto di kawasan itu.
Sementara itu, Rosly berkata susulan peristiwa itu, pihaknya telah berbincang dengan pihak pengurusan zoo itu untuk mewujudkan pakej percuma bagi pengantin dan pengapit serta potongan 20 peratus kepada rombongan yang hadir untuk bergambar di Zoo Negara.
"Saya melihat sendiri kemeriahan dan keseronokan pengunjung yang hadir pada hari berkenaan dan ia merupakan sesuatu yang unik dan acara menarik kepada semua pengunjung tidak kira dari luar atau dalam negara.
"Kira-kira 1,000 pengunjung yang ada menyaksikan ketibaan pasangan pengantin itu di panggung persembahan dan sambutan sangat hebat, ramai yang bergambar bersama pengantin terutamanya pelancong asing, oleh itu saya memaklumkan kepada pekerja zoo untuk adakan aktiviti ini setiap minggu," katanya.
Beliau berkata sebelum ini memang ada program pengantin di Zoo Negara, namun ia terbuka kepada pekerja sahaja dan susulan perkara ini mendapat sambutan dan dapat menarik lebih ramai lagi orang ke zoo, pihaknya telah memutuskan untuk membuka peluang ini kepada orang awam juga.
"Pihak kami akan menerima seramai mungkin pengantin yang ingin mengadakan sesi foto di Zoo Negara dan ia tidak hanya kepada pengantin berbangsa Melayu sahaja, tetapi terbuka kepada semua kaum. Sebarang syarat dan terma akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA
#Zoo Negara #pengantin baharu #sesi fotografi #pakej fotografi
;