Pasangan muda direman bantu siasatan kematian bayi 46 hari
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 16, 2018 10:48 MYT
Februari 16, 2018 10:48 MYT
Ibu bapa kepada bayi berusia 46 hari yang maut dipercayai akibat didera direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan bayi perempuan mereka.
Perintah reman terhadap pasangan yang berusia 22 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Nor Hapipah Abdullah selepas dikemukakan pihak polis, di sini hari ini.
Kedua- duanya direman bagi membantu siasatan kes dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam polis menahan pasangan terbabit selepas menerima laporan berhubung kematian anak mereka itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Pada Khamis, bayi malang terbabit dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera dalam kejadian di rumah keluarganya di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Mangsa meninggal dunia ketika dibawa bapanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya kira -kira jam 10.45 pagi.
Pemeriksaan awal pihak hospital mendapati terdapat kesan kecederaan ditubuh badan bayi malang berkenaan.