Pasangan muda bina istana cinta di dalam hutan

Astro Awani
September 20, 2017 14:46 MYT
Badrul Hisham (kanan) menawarkan kepada pasangan terbabit rumah dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun mereka menolaknya. - Foto Astro AWANI
Mereka bukannya dihimpit kemiskinan, jauh sekali dihalau oleh keluarga masing-masing.
Namun bagi pasangan suami isteri muda ini bersama tiga orang anaknya yang masih kecil, mereka memilih untuk tinggal di dalam hutan kerana ingin berdikari tanpa menyusahkan mana-mana pihak.
Ahmad Ridzuan Yaacob, 26, dan isterinya Nor Hidayah Sahazan, 23, berkata resipi buat mereka bertahan sehingga kekal setahun tinggal di dalam hutan berhampiran Kuala Tualak di sini, adalah keserasian, kebahagiaan dan penerapan kasih sayang di antara mereka berdua.
Ahmad Ridzuan berkata, beliau memilih tempat ini sebagai tempat tinggal mereka kerana terdapat punca air di situ di samping kawasan hutan mereka tinggal sekarang merupakan kawasan tanah yang dijagai oleh neneknya sebelum ini.
Jarang sekali bagi mana-mana pasangan seusia muda begini sanggup berkorban hidup serba kekurangan tanpa kemudahan elektrik dan bekalan air paip, dan pada mulanya hanya tinggal di dangau kecil.
Kini pasangan itu bahagia di dalam hutan bersama tiga anak mereka Putera Danny Quefiq, 6, Puteri Dannysha Queyllyaa, 4, dan Iman Muhammad Naufal Fath, 18 bulan.
Nor Hidayah berasal dari Pulau Pinang kini mengandung lagi dan bakal melahirkan cahaya mata yang keempat dalam tempoh empat bulan lagi.
"Saya sanggup meninggalkan ibu bapa dan menetap di dalam hutan kerana saya lebih menyayangi suami dan keluarga saya dan hutan ini merupakan punca rezeki bagi kami," ujar Nor Hidayah.
Dangau kecil yang mereka bina dahulu kini telahpun diubahsuai menjadi dangau tiga tingkat yang diperbuat daripada batang kayu dan buluh.
Dengan jarak lima kilometer dari jalan besar dan menghampiri ke kediaman mereka dengan jalan tanah merah yang licin, agar sukar bagi kebanyakkan orang untuk terus menetap di situ.
Bagi menyelami isi hati pasangan ini, terhadap tindakan mereka tinggal di dalam hutan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Badrul Hisham Hashim menziarahi pasangan terbabit.
Badrul Hisham menawarkan kepada pasangan terbabit rumah dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun mereka menolaknya dan meminta mana-mana pihak yang ingin membantu agar dapat membina rumah di tempat mereka tinggal sekarang.
"Bagi saya inilah pengorbanan cinta yang suci ditunjukkan oleh pasangan ini dan saya yakin ramai tak mampu untuk berkorban seperti ini.
"Saya ingin membantu mereka untuk menempatkan mereka di rumah PPRT di Kuala Nerang namun Ridzuan tidak mahu dan berkata dia rela menetap di dalam hutan," ujarnya lagi.
#ADUN #hutan #Kuala Nerang #menetap #pasangan
;